BEKAS pemain tengah Sheffield Wednesday dan Nottingham Forest, Chris Bart-Williams, meninggal dunia pada usia 49 tahun semalam.

Sheffield Wednesday memaklumkan bahawa mendiang meninggal dunia di Amerika Syarikat, di mana dia bertugas sebagai mentor dan jurulatih.

"Bart-Williams kini bersama bekas pengurusnya di Hillsborough, Trevor Francis, yang turut meninggal dunia hari ini, salah satu hari paling menyedihkan dalam sejarah kita," kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu.

"Ingatan kami buat keluarga dan rakan-rakan Chris dan Trevors pada hari yang menyedihkan ini."

Berita kematian itu tiba tidak lama selepas The Owls dan Forest meratapi pemergian bekas penyerang mereka, Trevor Francis, yang meninggal dunia pada usia 69 tahun semalam.

Dilahirkan di Sierra Leone, Bart-Williams, yang memulakan kariernya sebagai pelatih di Leyton Orient, melakukan 150 penampilan buat Wednesday sebelum berpindah ke City Ground pada 1995. 

Dia kemudian mewakili Forest dalam 248 perlawanan dan sempat menyertai Charlton dan Ipswich sebelum memilih untuk memulakan karier kejurulatihannya di Amerika Syarikat.