Harapan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menundukkan Viktor Axelsen terkubur apabila tewas pada final Siri Super Akhir Dunia sekali gus gagal memburu gelaran kelimanya di kejohanan berprestij itu.

Pada aksi selama 84 minit di Kompleks Sukan Hamdan Dubai, Emiriah Arab Bersatu itu, Chong Wei yang kini berada di kedudukan kedua dunia ditundukkan pemain muda dari Denmark itu 19-21, 21-19 dan 21-15.

Chong Wei yang pada awalnya kelihatan lebih bersemangat pada set pertama bagaimanapun tidak dapat menangkis kemaraan Axelsen pada set seterusnya yang menjurus kepada kemenangan berpihak kepada Axelsen.

Namun, Chong Wei tidak memberikan kemenangan mudah kepada Axelsen apabila juara empat kali itu terpaksa bertungkus lumus dalam aksi sengit untuk mengalahkan Chong Wei.

Chong Wei sudah empat kali menjuarai Siri Super Akhir bermula pada 2008 di Kota Kinabalu, 2009 di Johor Bahru, 2010 di Taiwan dan 2013 di Kuala Lumpur.

Bagi acara perseorangan wanita, pemain Jepun Akane Yamaguchi menewaskan pemain India Pusarla V.Sindhu 15-21, 21-12, 21-19 manakala Zheng Siwei-Chen Qingchen (China) menewaskan beregu campuran Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-15, 22-20.

Beregu lelaki Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo menang bergaya menewaskan beregu China, Liu Cheng-Zhang Nan 21-16, 21-15 dan gelaran juara beregu wanita diraih oleh Shiho Tanaka-Koharu Yonemoto dari Jepun yang menundukkan rakan senegara, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-16, 21-15.

-- BERNAMA