PENGENDALI Manchester United, Louis van Gaal berpendapat perjalanan penyerang muda Marcus Rashford masih jauh sebelum dia boleh diangkat pada taraf yang sama seperti pemenang tiga kali Ballon d'Or, Cristiano Ronaldo.
Rashford muncul penyelamat The Red Devils tatkala kapten Wayne Rooney terpaksa disisihkan gara-gara kecederaan dan pemain kelahiran Manchester itu meledakkan enam gol dalam 11 perlawanan setakat ini.Lebih menarik, dia memiliki rekod jaringan yang sama seperti Cristiano Ronaldo ketika mengharungi musim pertamanya di Old Trafford, 13 tahun lalu.
Bagaimanapun, Van Gaal enggan melihat prestasi bintang dalam pembikinannya dicemari oleh perbandingan yang 'tidak masuk akal'.
"Kita tidak boleh buat perbandingan antara buah pir dan buah epal, jadi saya tidak setuju dengan apa yang anda memikirkan. Kami perlu tunggu dan lihat pada hari yang lain, perjalanan Marcus masih jauh.
"Memang benar, apa yang telah dicapai Marcus setakat ini sangat menakjubkan dan harus diberi kepujian. Tetapi, kita tidak boleh menyamakannya dengan Ronaldo apatah lagi mereka bermain di posisi yang berlainan. Ronaldo bukan penyerang," kata Van Gaal.
Sementara itu, Van Gaal mendedahkan kepakarannya untuk mengilap bakat muda adalah antara faktor utama dia mendapat peluang untuk mengendalikan pasukan paling berjaya di England.
"Sebaik tiba di Manchester, saya mahu kapasiti dan saiz skuad yang tidak terlalu besar kerana ia memberi peluang kepada barisan pemain muda untuk bekerja keras dalam pasukan bawah-21 tahun.
"Kemunculan Marcus bukanlah satu perkara yang baharu bagi saya dan itu antara faktor utama kenapa saya berada di Manchester sekarang. Apapun, saya sangat gembira dengan kualiti pemain-pemain akademi," tambahnya.