PARIS: Atlet lompat kijang Sepanyol, Ana Peleteiro-Compaore, hanya menumpukan satu perkara di Paris, iaitu memenangi pingat emas Olimpik untuk menambah koleksi gangsa yang dimenanginya di Tokyo 2020.

Atlet berusia 28 tahun yang memenangi gelaran Eropah di Rome baru-baru ini, kembali cergas selepas melahirkan anak pada 2022 dan ketiadaan juara Olimpik semasa, Yulimar Rojas di Paris, meningkatkan peluangnya untuk meraih pingat, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Saya telah berlatih untuk menjadi juara Olimpik dan satu-satunya perkara dalam fikiran saya adalah emas, walaupun menjadi pemenang pingat Olimpik sekali lagi akan menjadi sesuatu yang hebat," kata atlet Sepanyol itu yang memulakan pertandingan pada Sabtu.

"Berada di sini di Paris, selepas menjadi ibu sudah merupakan satu anugerah, tetapi saya adalah seorang yang bercita-cita tinggi dan sangat kompetitif dan saya akan memberikan segalanya untuk diri saya, keluarga saya dan emas, seperti yang selalu saya lakukan," tambahnya.

Peleteiro-Compaore berkata bergelar ibu memberikan pelbagai faktor yang berbeza dalam hidupnya.

"Anda perlu belajar untuk mengikuti arus," selorohnya, menjelaskan bahawa: "Tiba-tiba anak anda boleh mendapat virus, ia merebak kepada semua orang di rumah dan menjejaskan prestasi anda."

Bagaimanapun, ia juga mempunyai sisi positif: "Ia juga memberi anda kekuatan tambahan yang bermakna jika anda sedang bertanding untuk pingat dalam lompatan terakhir, anda mendapat 10 sentimeter lebih tinggi kerana anda telah bekerja keras dengan mengalami gangguan tidur pada sebelah malam, sehingga keletihan pertandingan itu tidak menjejaskan anda dengan cara yang sama."

Sebagai personaliti yang popular di Sepanyol, Peleteiro-Compaore berharap pengalamannya akan "menjadi contoh kepada wanita lain, saya gembira jika mereka mengambil kes saya sebagai motivasi."

"Saya tidak melakukan apa-apa yang orang lain tidak boleh lakukan. Saya hanya berusaha lebih keras," katanya.

-- BERNAMA