PENYERANG baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Jese Rodriguez, teruja untuk memulakan cabaran bersama kelab itu selepas sah memeterai kesepakatan untuk bersama Harimau Selatan semalam.

Rodriguez merupakan seorang pemain sayap dan penyerang yang pernah mewakili skuad senior Real Madrid sebanyak 63 kali dari 2011 hingga 2016, di mana dia turut menjaringkan 13 gol sepanjang tempoh itu.

Sepanjang di Santiago Bernabeu, dia merupakan rakan sepasukan kepada bintang dunia, Cristiano Ronaldo, di mana mereka bersama-sama menjuarai dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan satu kejuaraan Piala Dunia Kelab.

Dia kemudian berkhidmat bersama PSG sehingga 2020 dengan 12 penampilan dan satu gol sebelum dipindahkan beberapa kelab seperti Stoke City dan Real Betis.



Dalam satu kiriman media sosial sebaik diumumkan sebagai pemain baru Harimau Selatan, Rodriguez berkata: "Amat gembira untuk peluang baru yang diberikan dalam bola sepak.

"Hari ini, saya memulakan pengembaraan baru saya di kelab terkemuka @officialjohor.

" Saya yakin bahawa kami akan mencapai banyak kejayaan bersama-sama. Tidak sabar untuk memulakannya." -- Stadium Astro