Bekas pemain bolasepak Sarawak, Sazali Mohamed Ramli, 45 meninggal dunia ketika berjoging di Taman Bintulu dipercayai terkena serangan jantung, kelmarin.

Sazali yang juga merupakan seorang polis bantuan di Petronas Bintulu, pernah juga mewakili Sarawak dalam Liga Malaysia di bawah jurulatih Australia, Alan Vest.

Mengungkap kata-kata Pengurus Besar Petronas di Sarawak, Datin Mary Sadiah Zainuddin, Bernama melaporkan bahawa kematian beliau adalah satu kejutan.

Mary Sadiah berkata, ini kerana sebelum ini Sazali berada dalam kesihatan yang sempurna dan tidak mengalami apa-apa penyakit.

"Kematian beliau adalah satu kerugian kepada Petronas dan peminatnya," kata Mary kepada Bernama yang merupakan isteri Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak Datuk Sudarsono Osman.

Antara pemain seangkatan dengan beliau adalah John Hunter, Jeff Curan, David Evans, Dahlan Matusin, Roslan Ismail, Abdul Jalil Ramli dan Ibrahim Mentali.

Di zaman kegemilangannya, Sazali telah bekerjasama dengan Hunter dan dianggap sebagai penyerang utama bagi pasukan negeri.