BEKAS jurulatih Pulau Pinang, Jacksen F Tiago memeluk Islam selepas meninggalkan kepercayaan agama lamanya.

Jacksen yang sebelum ini merupakan penganut Kristian memeluk Islam pada usia 56 tahun dengan dibimbing oleh Ustaz H Nasikhin di Pondok Pesantren Nabil Husein, Samarinda, Indonesia.

Lelaki kelahiran Rio De Janeiro itu merupakan bekas pemain bola sepak Brazil sebelum menjadi jurulatih legenda pasukan Persebaya Surabaya di Indonesia dan pernah membimbing skuad Pulau Pinang pada 2016.

Dia yang juga pernah memimpin beberapa kelab bola sepak Indonesia kini memegang jawatan sebagai Pengarah Teknik PSSI Kaltim.

Jacksen yang sebelum ini merupakan penganut Kristian memeluk Islam pada usia 56 tahun. - Gambar/ Gempak

Berita Jacksen yang sudah lebih 10 tahun menetap di Indonesia memeluk Islam diumumkan oleh anak lelakinya, Hugo Samir menerusi perkongsian terkini di Instagram.

Menerusi perkongsian tersebut, Jacksen dilihat memakai baju berwarna coklat saat mengucapkan kalimat syahadat, lapor CNNIndonesia.

"Tidak ada kata-kata yang dapat menjelaskan perasaanku saat ini, ayah. Aku menyayangimu Mr Samir Fereirra Tiago," tulis Hugo Samir.

"Cintaku padamu dan keluarga kita abadi, anak muda," balas Jacksen di ruangan komen.

Untuk informasi, Jacksen sudah berkahwin dengan wanita Indonesia sejak 2004 dan memiliki dua orang anak lelaki yang beragama Islam. Sebelum ini dia mengaku keluarganya tetap harmoni walaupun berbeza agama. - Gempak