BIRMINGHAM: Pasukan campuran badminton negara hampir pasti menempah tiket ke final apabila turun menentang pasukan tuan rumah, England pada separuh akhir di Sukan Komanwel Birmingham 2022, pada Isnin.

Perlawanan suku akhir pada Ahad menyaksikan Malaysia yang tidak pernah gagal ke final sejak Melbourne 2006, tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sri Lanka dalam aksi di Pusat Pameran Nasional.

Gandingan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berjaya mengenepikan pasangan Sachin Dias-Thilini Hendahewa, 21-14, 21-14 untuk mata pertama buat Malaysia.

Pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong kemudian menyumbang mata kedua selepas menumpaskan Niluka Karunate, 21-5, 21-14.

"Walaupun saya mendahului permainan dengan selesa pada set pertama namun saya rasa Karunate bermain lebih baik pada set kedua dan memperoleh lebih banyak mata berbanding pada awal permainan," katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

Pemain profesional perseorangan wanita, Goh Jin Wei memberi mata kemenangan kepada Malaysia apabila menundukkan Vihara Suhasni Vidanage, 21-9, 21-5.

England lebih awal mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menyingkirkan Kanada 3-0.

-- BERNAMA