Selepas video membabitkan beberapa atlet terjun program podium negara yang dikatakan sedang meminum minuman keras dan mabuk,akhirnya mereka yang terlibat dalam video tersebut hari ini tampil memberikan penjelasan kepada media.

“Memang itu video kami dan itulah yang berlaku dan kami sangat menyesal atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu dan kami berjanji tidak akan mengulanginya lagi”.

Itu kekesalan yang dizahirkan Chew Yi Wei yang mewakili atlet terjun program tersebut dalam sidang media yang berlangsung di Majlis Sukan Negara di ibu negara, di sini hari ini.

Hampir kesemua atlet terjun hadir dalam sidang media yang diadakan bagi memberi penjelasan terhadap isu tersebut selepas mendapat pelbagai kritikan terhadap klip video yang viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Yi Wei mengakui bahawa video tersebut diambil ketika meraikan malam Tahun Baru Cina tahun ini ketika berada di luar negara ketika menjalani program latihan sebagai persiapan menghadapi Siri Kejuaraan Dunia.

“Kejadian itu berlaku diluar pengetahuan jurulatih dan telah diadakan di tempat persendirian,kami telah meminum bir dan menari yang biasanya kami lakukan ketika hari rehat. Kami telah belajar dari kesilapan dan kami bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ini," kata Yi Wei.

“Kami pohon maaf kepada semua pihak dan media dan kami akan pastikan ia tidak akan berlaku lagi pada masa depan.”


Namun, ketika diajukan soalan oleh media tentang siapa yang bertanggung jawab mengambil dan memuat naik video tersebut,kesmua mereka seakan menutup mulut dan menyembunyikan nama individu tersebut.

“Saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai hal itu tetapi kesilapan adalah kesilapan," jelasnya lagi.

Beliau juga cuba menafikan adanya masalah dalaman dalam kalangan rakan sepasukan sehingga menyebabkan kebocoran video berkenaan.

“Saya juga tidak mahu membuat spekulasi itu tetapi kami semua telah berada di sini bagi menunjukkan kami adalah satu pasukan”.

Bintang terjun negara, Pandalela Rinong yang turut terlibat dalam video itu berkata beliau menyerahkan siasatan berkenaan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Kami di sini adalah untuk memohon maaf dan selebihnya itu (mengenai individu yang mengambil video tersebut) kami serahkan kepada pihak berkuasa.


Sementara itu, Pengarah Program Podium Tim Newenham berkata beliau melihat kesalahan itu sesuatu yang serius dan jika disabitkan kesalahan atlet yang terbabit bakal berdepan hukuman berat termasuk kemungkinan dikeluarkan dari program terbabit.

“Ya, larangan mengambil sebarang alkohol adalah termaktub dalam syarat dan kontrak atlet yang terlibat dalam Program Podium. Kami perlukan fakta terlebih dahulu dan jawatankuasa akan bermesyuarat untuk menentukan jenis hukuman.”

“Ia mungkin berdepan dengan pelbagai kemungkinan bentuk hukuman termasuk dikeluarkan daripada program.

"Secara jelas, wujudnya video tersebut dan atlet (yang terlibat) telah mengakui bahawa mereka adalah individu dalam video itu," tambahnya.