KUALA LUMPUR: Pemain muda sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi enggan terbuai dengan pujian selepas beraksi cemerlang membantu pasukannya mencipta kejayaan 'treble' dengan memenangi saingan Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Pemain sayap berusia 20 tahun itu sebaliknya bersyukur kerana terus mendapat peluang dan kepercayaan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan ketika pasukan itu dibarisi ramai pemain berstatus bintang yang lebih berpengalaman.

Menurut Pemain Paling Bernilai (MVP) Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) itu, segala kejayaan yang dikecapi membakar semangatnya bagi menjadi pemain lebih bagus pada masa hadapan.

"Tahun ini amat bermakna bagi saya dan akan diingati sampai bila-bila sebab di usia muda macam saya, jarang orang dapat peluang macam ini dan saya akan gunakannya untuk lebih maju pada masa depan.

"Perjalanan saya masih jauh dan saya tidak akan berhenti belajar, ini permulaan bagi saya sebab saya masih muda banyak lagi yang akan dilalui," katanya ketika ditemui selepas final Piala Malaysia 2022 antara JDT dan Selangor FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil, di sini semalam.

Pada aksi final itu, JDT menewaskan Selangor 2-1 dengan Herlison Caion De Souza Ferreira meletakkan skuad Gergasi Merah di depan terlebih dahulu sebelum JDT bangkit meledak dua gol masing-masing menerusi Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Kejayaan itu membolehkan JDT mencipta kejayaan 'treble' buat julung kalinya, selain mengulangi pencapaian memenangi Piala Malaysia pada 2017 dan 2019 serta mengubat kekecewaan tewas di pentas final edisi lepas kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

JDT turut menjulang Piala Sumbangsih pada perlawanan pembuka tirai musim ini.

Sementara itu, Arif Aiman berkata misi utamanya selepas ini ialah membantu JDT meraih lebih banyak kejayaan pada musim berikutnya yang lebih mencabar, selain memberikan persembahan terbaik bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Musim ini menyaksikan Arif Aiman mengumpul keseluruhan lapan gol dalam kesemua pertandingan iaitu tiga dalam kempen Liga Super, Piala FA (empat) dan meledak satu gol dalam saingan Piala Malaysia.

-- BERNAMA