AL RAYYAN: Arab Saudi berkemungkinan menjadi tuan rumah Piala Asia 2027 selepas satu-satunya calon lain iaitu India menarik diri.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Isnin memaklumkan bahawa keputusan rasmi negara mana bakal menjadi tuan rumah akan diputuskan pada kongres Februari depan, lapor dpa.

Menurut satu kenyataan, India dan Arab Saudi disenarai pendek pada Oktober, namun AFC telah dimaklumkan secara rasmi oleh All India Football Federation (AIFF) mengenai keputusan untuk menarik diri.

Berikutan itu, bidaan SAFF (Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi) untuk menjadi tuan rumah edisi ke-19 Piala Asia AFC pada 2027 menjadi satu-satunya tawaran yang diterima Kongres ke-33 AFC untuk dipertimbangkan.

Arab Saudi belum pernah menjadi tuan rumah kejohanan yang dimenangi pasukannya sebanyak tiga kali. Pasukan itu melakar kejayaan pada Piala Dunia di Qatar apabila menewaskan Argentina, namun gagal mara ke pusingan seterusnya.

Menurut dpa, Arab Saudi juga dilaporkan berminat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030.

Piala Asia 2023 akan berlangsung di Qatar selepas China yang sepatutnya menjadi tuan rumah menarik diri susulan peraturan ketat COVID-19.

-- BERNAMA