KUALA LUMPUR: Bekas pemain badminton kebangsaan Abdul Rahman Mohamad, anggota skuad negara yang muncul naib juara Piala Thomas pada 1970, meninggal dunia hari ini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Allahyarham, yang berusia 75 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 5.53 petang di Hospital Shah Alam.

"Lahir pada tanggal 9 Mei 1946, Abdul Rahman yang juga merupakan anggota skuad Piala Thomas 1970, turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Datuk Punch Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan kejohanan berprestij itu menentang Indonesia.

"Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," menurut kenyataan BAM di laman Facebooknya.

Pada aksi final itu, Malaysia tewas 2-7 kepada Indonesia di Stadium Negara.

Arwah sebelum ini dilaporkan terlantar di rumahnya setelah diserang strok.

-- BERNAMA