Pasukan yang mendapat jolokan ‘Les Fennecs’ itu kali terakhir menperoleh kemenangan adalah pada Piala Dunia 1982 apabila mengejutkan Jerman Barat ketika itu.
Tiga gol pada separuh masa pertama hasil jaringan Islam Slimani pada minit ke 26, Rafik Halliche pada minit ke 28 dan Abdelmoumene Djabou pada minit ke 38 sudah cukup untuk membawa Algeria semakin hampir untuk layak ke pusingan seterusnya.
(AP Photo/Lee Jin-man)
Namun begitu, Korea Selatan tidak mudah berputus asa apabila mula melancarkan gerakan-gerakan berbahaya dan hasilnya pada minit 50, Son Heung-Min merapatkan kedudukan untuk 1-3.
Algeria menambahkan lagi derita ‘Pahlawan Taegeuk’ apabila Yacine Brahimi menjarakkan kedudukan Algeria menjadi 4-1 sebelum seorang lagi pemain Korea Selatan, Koo Ja-Cheol menjaringkan kedua Korea Selatan untuk kedudukan 4-2.
Kedudukan kekal hingga wisel penamat dan dengan kemenangan itu, Algeria kini berada di tangga kedua Kumpulan H dengan tiga mata manakala Korea Selatan kekal di tangga terbawah kumpulan
Korea Selatan bakal menghadapi laluan sukar untuk layak ke peringkat pusingan kalah mati apabila bakal bertemu Belgium untuk perlawanan terakhir kumpulan manakala Algeria pula akan bertemu Rusia untuk penentuan satu lagi slot dari Kumpulan H yang layak ke pusingan kalah mati.
Sebelum itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan H, jaringan minit akhir Divock Origi membawa Belgium layak ke pusingan kalah mati apabila menewaskan Rusia dengan kemenangan tipis 1-0 di Estadio do Maracana di Rio de Janeiro.
Perlawanan berlangsung agak hambar dengan kedua-dua pasukan banyak mensia-siakan peluang yang terhidang di hadapan mata.
Ini memaksa pengendali Belgium, Marc Wilmots membuat pertukaran dengan mengeluarkan penyerang Romelo Lukaku dan memasukkan Divock Origi seawal separuh masa kedua dimulakan.
(AP Photo/Ivan Sekretarev)
Nyata, kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan oleh Origi yang mudah merembat masuk bola hantaran penyerang Eden Hazard untuk gol tunggal perlawanan tersebut.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Kevin De Bruyne (Belgium) dan Sofiane Feghouli (Algeria).