Ahmad Amsyar-Pandelela terlepas pingat gangsa

Bernama
Jun 4, 2018 05:09 MYT
Pasangan penerjun negara itu bermula baik apabila berada di kedudukan kedua sehingga terjunan keempat, namun nasib tidak menyebelahi mereka pada terjunan terakhir. - Gambar fail
Gandingan penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman dan Pandelela Rinong Pamg terlepas pingat gangsa acara 3m dan 10m berpasukan campuran pada Piala Dunia FINA 2018 di Wuhan, China.
Pada aksi di Pusat Sukan Natatorium Wuhan pada Isnin malam, pasangan negara itu mengumpul 373.60 mata selepas enam terjunan, hanya kurang 1.05 mata daripada pemenang pingat gangsa, David Dinsmore-Krysta Palmer (374.65 mata) dari Amerika Syarikat.
Pasangan penerjun negara itu bermula baik apabila berada di kedudukan kedua sehingga terjunan keempat, namun nasib tidak menyebelahi mereka pada terjunan terakhir sekali gus berkesudahan di tempat keempat, selepas sekadar mencatat 66.30 mata.
Pingat emas acara itu menjadi milik penerjun China, Chen Yiwen-Qiu Bo selepas merekodkan 406.20 mata keseluruhan diikuti pasangan Ukraine Sofiia Lyskun-Oleg Kolodiy (388.90 mata).
Sementara itu, bagi acara 10 meter platform seirama campuran melibatkan gandingan penerjun berpengalaman, Leong Mun Yee dan penerjun muda, Hanis NazirulJaya Surya, pula sekadar berada di tempat ketujuh daripada 12 penerjun.
Gandingan baharu itu hanya mencatat 273.90 mata selepas melakukan lima terjunan.
Penerjun China terus mendominasi aksi Piala Dunia edisi kali ini apabila turut meraih pingat emas acara itu melalui Si Yajie-Lian Junjie (353.31 mata) diikuti pingat perak dan gangsa, masing-masing menjadi milik Caeli Mckay-Vincent Riendeau dari Kanada (301.20 mata) dan penerjun Rusia, Valeriia Belova-Sergey Nazin (299.88 mata).
Pada hari kedua kejohanan pada Selasa (5 Jun), Pandelela sekali lagi akan turun beraksi dalam acara 10m platform individu wanita manakala Ahmad Amsyar akan bergandingan dengan Ooi Tze Liang bagi acara 3m papan anjal seirama lelaki.
-- BERNAMA
#Ahmad Amsyar Azman #China #FINA #kejihanan #Pandelela Rinong #penerjun negara #Piala Dunia #Wuhan
;