Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berdepan saingan getir tahun ini dengan harapan tinggi diletakkan pada Sukan SEA Kuala Lumpur serta saingan Liga Hoki Dunia (HWL) bagi mencari tiket ke Piala Dunia 2018.

Selepas persediaan rapi sewaktu latihan serta pendedahan menerusi perlawanan dalam siri jelajah dan kejohanan taraf tinggi pada 2016, tahun ini bakal menjadi penentu mendapatkan hasil tuaiannya.

Timbalan Presiden KHM, Prof Dr S. Shamala percaya kedua-dua skuad lelaki dan wanita mampu mara ke separuh akhir HWL, selain merangkul kesemua empat pingat emas Sukan SEA, masing-masing dua dalam acara padang dan dalam dewan.

"Saya percaya 2017 adalah tahun yang baik untuk KHM selepas melakukan rombakan menyeluruh. Sudah masanya untuk mendapatkan hasil pelaburan terutama siri jelajah di Jepun, New Zealand dan Australia.

"Bagi Sukan SEA, kita perlu menang dengan meyakinkan bagi membuktikan Malaysia berada pada tahap berbeza, apa lagi sebagai tuan rumah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Skuad wanita akan menjadi pasukan pertama memulakan musim pertandingan tahun ini apabila Malaysia menjadi tuan rumah Pusingan Dua HWL dari 14 hingga 22 Jan, di mana mereka akan berdepan Ireland, Itali, Fiji, Kazakhstan, Singapura, Thailand dan Wales bagi mencari tiket ke separuh akhir.

"Tahun ini, skuad wanita perlu membuktikan ada peningkatan pada permainan mereka selepas begitu banyak pelaburan dibuat sepanjang 2016. Saya rasa tiada banyak masalah untuk mereka mara ke pusingan separuh akhir HWL," katanya.

Hanya tiga pasukan terbaik pada Pusingan Dua di Kuala Lumpur akan mara ke pusingan separuh akhir bersama enam pasukan daripada dua kejohanan Pusingan Dua yang diadakan di Sepanyol dan Kanada.

Pusingan separuh akhir yang turut membabitkan 11 pasukan terbaik dunia akan diadakan dalam dua edisi - 21 Jun hingga 2 Julai di Belgium dan 8-23 Julai di Afrika Selatan.

Hanya 10 atau 11 pasukan daripada pusingan separuh akhir, bersama tuan rumah dan lima juara benua akan layak ke Piala Dunia 2018.

Tahun lalu, skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah menamatkan saingan Liga Hoki Australia di tempat ketujuh serta tempat keempat dalam Trofi Juara-Juara Asia.

Sementara itu, skuad lelaki akan memulakan cabaran Pusingan Dua HWL bersama tuan rumah Trinidad & Tobago, Jepun, Rusia, Barbados, Chile, Switzerland dan Amerika Syarikat, bagi misi sama mencari tiket ke Piala Dunia 2018.

"Skuad lelaki cemerlang pada 2016 dengan mendapat pingat gangsa Trofi Juara-Juara Asia, tempat keempat dalam Piala Sultan Azlan Shah dan keenam di Liga Australia. Mereka pasti melepasi saingan Pusingan Dua," katanya.

Menurut Shamala, pelaburan dalam program akar umbi terutama Program Pembangunan Hoki 1Malaysia juga mula menampakkan hasil dengan kemunculan ramai pemain muda berbakat dalam liga domestik. -- Bernama