UMNO Bahagian Tenom pada Sabtu sebulat suara mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Ketuanya Datuk Rubin Balang berkata UMNO Tenom juga menolak 'Deklarasi Mahathir' yang diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri.

Beliau berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa UMNO Bahagian Tenom tanpa nasihat ataupun dorongan daripada mana-mana pihak.

"Kami sebulat suara dan berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Najib untuk kekal sebagai perdana menteri dan juga presiden UMNO.

"Datuk Seri Najib merupakan perdana menteri dan presiden UMNO yang dipilih melalui sistem demokrasi berparlimen di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan-cawangan UMNO Bahagian Tenom di sini, Sabtu.

Sementara itu, di Alor Setar, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) turut mengikrarkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Najib.

Presidennya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata ketetapan Pesaka menyokong kepimpinan itu bertambah kuat selepas mendapati Najib tidak bersalah dan tidak melanggar sebarang undang-undang berkaitan isu derma politik RM2.6 bilion.

"Pihak berkuasa juga telah menjalankan siasatan dan mendapati Najib tidak bersalah jadi secara dasarnya tiada kesalahan undang-undang yang dilakukan olehnya.

"Saya harap pihak pembangkang di luar sana supaya menghentikan fitnah tidak berasas ini," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Tahunan Pesaka Ke-16 di sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.