KUALA LUMPUR: UMNO sepatutnya mengutamakan pemulihan ekonomi pasca pandemik dan cara membantu menangani masalah dan kesengsaraan rakyat daripada mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, desakan supaya membubarkan Parlimen dilihat sebagai usaha terdesak pihak tertentu yang terlalu rakus kepada kuasa dan tersembunyi agenda politik peribadi.

Tegasnya, kerajaan kini dilihat tidak berdepan dengan 'masalah besar' dalam usaha meneruskan perkhidmatan kepada rakyat dan negara kecuali UMNO yang dilihat terlalu cenderung untuk meraih kuasa politik secara mutlak.

“Saya bersetuju dengan pandangan pemerhati politik yang berpendapat bahawa kemenangan besar UMNO pada PRN Melaka dan Johor bukan kayu ukur untuk parti itu mendabik dada bahawa mereka akan kembali berkuasa pada PRU15 akan datang.

“Ini kerana rakyat akan mempersoalkan kenapa pucuk pimpinan UMNO begitu beria-ia sangat mahu PRU15 disegerakan sedangkan Perdana Menteri yang ada sekarang dilihat telah menjalankan tugas dengan baik, diterima rakyat dan tidak tercemar dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kononnya 191 bahagian UMNO mahukan PRU15 disegerakan atas kehendak rakyat, juga satu alasan yang boleh dipersoalkan kerana rakyat Malaysia sedang bergelut dengan masalah kehidupan bukan terlalu taksub dengan politik dan perebutan kuasa,” katanya menerusi Facebook rasminya, pada Sabtu.

Tambah beliau, berbaki hanya setahun lebih lagi untuk diadakan PRU15, beliau berpendapat lebih baik UMNO mengadakan pemilihan dalam parti terlebih dahulu dan memperkasakan persiapan jentera untuk berdepan pilihan raya.

Tegasnya lagi, sepatutnya UMNO membersihkan dalaman parti terlebih dahulu dengan memastikan tiada pemimpin yang bermasalah dan menangani isu yang membelenggu kehidupan harian rakyat.


BACA SEMUA BERHUBUNG LIPUTAN KOMPREHENSIF PAU2021 DI SINI 


“Budaya "ampu pemimpin" sepatutnya sudah tidak ada pada generasi UMNO kerana parti itu usianya melebih 70 tahun. Cukup matang dan berpengalaman. Generasi muda sebaliknya perlu berani bersuara kerana mereka adalah pewaris perjuangan UMNO.

“Sehubungan itu, saya berpendapat UMNO akan dilihat bersih dan pemimpinnya dipandang mulia jika menunjukkan mutu kepimpinan terbaik, ikhlas dan berjiwa besar dengan menyerahkan kepada budi bicara Perdana Menteri atas persetujuan kabinet dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk bubarkan Dewan Rakyat apabila tamat penggal.

“Jangan bersifat 'talam dua muka' kononnya menghormati institusi istana tetapi dalam masa yang sama melakukan pelbagai desakan dan tekanan secara terancang supaya Parlimen segera dibubarkan,” tambahnya.