Kepimpinan UMNO perlu melihat pendekatan berbeza di kawasan bandar untuk menarik pengundi berbanding pada bahagian parti di luar bandar.

Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, perubahan itu sekali gus akan menjamin pengukuhan serta kedudukan parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

"UMNO di bandar besar seluruh negara masih menghadapi masalah mendekati pengundi selain perlu menangani isu setempat dengan lebih efektif. Selepas saya memimpin UMNO bahagian selama beberapa tahun, apa yang saya dapat lihat adalah UMNO di bandar menghadapi rintangan dari segi memberi perkhidmatan, masalah infrastruktur selain bangunan pangsapuri yang tidak diselenggara dengan baik. Selain itu kemudahan agama, masjid dan surau perlu mendapat perhatian pusat.

"Dari segi pembangunan ia tidak menjadi perkiraan serius dan bukan fokus utama Melayu atau masyarakat bandar. Ia merujuk kepada isu perhubungan dengan penduduk setempat. Kita kini fokus kepada mendengar dan cari penyelesaian dalam kawasan mereka

"Sebab itu UMNO perlu lihat cara berasingan untuk mendepani masyarakat bandar. Jangan lihat semua isu bandar dan luar bandar itu sama sahaja. Kita berharap satu perkara khusus dapat dibangkitkan untuk menyelesaikan banyak perkara yang dibangkitkan masyarakat setempat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa ahli akademik berkata, trend pengundian di kawasan bandar yang condong kepada pembangkang amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera untuk menyegarkan kembali kedudukan UMNO.

Selain itu ada juga cadangan supaya UMNO mendapat penglibatan lebih ramai golongan profesional dalam politik arus perdana bagi mengukuhkan kedudukan parti itu di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu jelas Azhari, UMNO pusat perlu melihat pemerkasaan bahagian parti di bandar sebagai langkah yang harus dibuat dalam masa terdekat.

"Dari segi pembangunan mungkin tidak ada, UMNO hari ini masih dilihat relevan kerana boleh berhubung dari segi perkhidmatan dan isu asas penduduk.

"UMNO perlu memberi penekanan dari segi memperkasakan pendidikan, anak-anak penduduk bandar yang mahu melanjutkan pelajaran di universiti atau bentuk pinjaman perniagaan untuk mereka meningkatkan taraf kehidupan," ujarnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, usul hala tuju Melayu bandar yang dibahaskan UMNO Wilayah Persekutuan pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas merupakan isu penting untuk mengingatkan ahli UMNO mengenai kedudukan mereka di kawasan berkenaan.