KUALA LUMPUR: UMNO tidak lagi boleh bernostalgia dengan kejayaan lampau dan perlu dijenamakan semula sebagai sebuah parti masa depan.

Ketua Bahagian Bukit Gantang, Perak Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata untuk itu, UMNO harus revelan mengikut masa dan tidak boleh ketinggalan zaman.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di sini hari ini.

Bagi Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Melaka Fairul Nizam Roslan, parti hanya akan menjadi kuat jika semua ahlinya bersatu padu dan bersatu hati selain tidak 'menembak' sama sendiri.

"Letakkanlah kepentingan parti sebagai nombor satu supaya survival parti akan lebih terbela pada masa depan," katanya.

Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman @ Abdul Halim pula menggesa ahli agar segera menguruskan persepsi negatif yang dilemparkan khususnya terhadap struktur pentadbiran parti.

Beliau berkata ia penting dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO sekali gus memberi keyakinan kepada parti untuk mengurus negara dengan lebih baik.

"Percubaan demi percubaan dilakukan untuk menggambarkan keburukan UMNO namun saya percaya dan yakin apa jua keputusan yang dilakukan UMNO adalah demi Malaysia dan Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tidak bertindak berseorangan sebaliknya berpandukan musyawarah dan sebarang keputusan parti adalah melalui perbincangan," katanya.

Setiausaha Kerja UMNOSiswa Malaysia Ainool Husaini Md Yatim pula mencadangkan pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan kepada pelajar yang diterima masuk ke institut pengajian tinggi bagi meringankan beban pada permulaan semester.

"UMNOSiswa mencadangkan supaya kad RHB yang digunakan sebagai kad matrik pelajar dioptimumkan dengan mengkredit pemberian kewangan awal semester memandangkan (pinjaman) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional belum dimasukkan lagi sedangkan pelajar sangat memerlukan wang pada ketika itu," katanya.

-- BERNAMA