Isu tuntutan agar Sabah dan Sarawak diberikan satu pertiga daripada keseluruhan 222 kerusi di Parlimen perlu dibincangkan dengan teratur dan bukan secara emosi.

Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berkata isu itu bukanlah satu perkara yang baharu kerana ia sudah lama diperkatakan dan diperjuangkan oleh ahli-ahli Parlimen yang lepas.

Katanya tuntutan itu juga selari dengan perenggan 236 (a) Laporan Suruhanjaya Cobbold yang menegaskan bahawa perwakilan wilayah Borneo dalam kerajaan persekutuan hanya akan mengambil kira bukan hanya kependudukan tetapi juga saiz dan potensinya.

"Maka saya dengan ini menyarankan Dewan Rakyat ini membincangkan perkara ini dengan teliti kerana perkara ini dibawa oleh kerajaan negeri Sarawak dan telah disokong oleh kerajaan Sabah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak akan terus untuk memperjuangkan hak mendapatkan semula peruntukan satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen daripada kerajaan Persekutuan.

Ia dilaporkan bagi tujuan mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak selepas ketiadaan Singapura.

Pada masa ini Sabah dan Sarawak mempunyai 56 kerusi Parlimen - kurang 18 kerusi untuk membentuk satu pertiga daripada 122 kerusi parlimen.

Sementara itu Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) berkata permintaan itu sangat munasabah dan adil.

"Perkara ini baru saja disebut oleh Ketua Menteri Sarawak dan disambut baik oleh Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) supaya jumlah kerusi Parlimen tidak kurang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan seperti yang berlaku sebelum Singapura dikeluarkan daripada Malaysia," katanya.

-- BERNAMA