Ringkasan AI
- Datuk Seri R. Ramanan mengkritik tindakan seorang ADUN Pas yang menggesa penduduk Kelantan dan Terengganu untuk mendaftar sebagai pengundi di Selangor, menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan Pas kehilangan sokongan di Selangor.
- Ramanan menegaskan bahawa Pas sepatutnya berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dan bukan mencari pengundi dari negeri lain untuk menentukan keputusan pilihan raya di Selangor.
- Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri, berharap penyokong Pas yang bermastautin di Selangor mendaftar sebagai pengundi di negeri berkenaan menjelang PRU akan datang.
Dalam satu ucapan hari ini, Ramanan menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, selain menunjukkan bahawa Pas sudah kehilangan sokongan di Selangor sehingga terpaksa bergantung kepada undi dari luar negeri.
"Saya sangat terkejut dan menganggap kenyataan itu kelakar serta tidak waras. Mereka sepatutnya berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka, bukan meminta penduduk negeri lain datang untuk mengundi di Selangor," katanya.
Menurutnya, tindakan itu menggambarkan bahawa Pas sudah kehilangan kepercayaan rakyat Selangor dan tidak lagi mampu meraih sokongan penduduk tempatan.
"Ini menunjukkan mereka sudah hilang modal dan terdesak. Sepatutnya, mereka memberi fokus kepada kebajikan rakyat di kawasan masing-masing dan bukan mencari pengundi dari negeri lain untuk menentukan keputusan pilihan raya di Selangor," katanya.
Ramanan turut menegaskan bahawa sebagai wakil rakyat di Sungai Buloh, beliau akan terus menjaga kepentingan serta kebajikan penduduk setempat.
Beliau menyatakan perkara itu ketika menyempurnakan Program Jualan MADANI Raya Sempena Aidilfitri di Dewan MPKS Saujana Utama, di sini, pada Ahad.
Baru-baru ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri menyatakan harapan tersebut, khususnya ditujukan kepada penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri di bawah pentadbiran Pas seperti Kelantan, Terengganu, dan Kedah.
Beliau juga berharap agar penyokong parti yang bermastautin di Selangor untuk mendaftar sebagai pengundi di negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan mengajak perantau untuk tukar alamat mengundi.
Ab Halim yakin jika lebih ramai penyokong Pas mendaftar sebagai pengundi di Selangor, tidak mustahil PN mampu menawan negeri itu pada PRU akan datang.
