Tiada 'pelan B' untuk UMNO kecuali kembali bersatu mempertingkatkan segala usaha dan ikhtiar bagi mendepani kemelut yang dihadapi parti itu ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Khaled Nordin berkata perkara itu tidak boleh dipandang mudah kerana itu adalah tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.

"Kesemua agenda penyatuan dan masa depan hanya akan menjadi realiti jika kerajaan kita stabil, parti kita kuat dan kita diyakini.

"Kita harus berlaku benar dan mengakui bahawa parti pada detik ini tidak berada dalam kedudukan sebaiknya," katanya.

"UMNO memerlukan harapan baharu, UMNO perlu menyelesaikan segala kemelutnya dengan segera kerana kita tidak boleh lagi menunggu lama," kata Khaled yang juga Menteri Besar Johor.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Sekolah Menengah Sains Sembrong di sini, Sabtu.

"Ini bukan persoalan enteng. Ini adalah tentang kelangsungan perjuangan Melayu dan Islam.

"Kita mengajak kepada kesatuan. Itulah yang memberi harapan bahawa ada jalan keluar dari semua isu yang melemaskan," ujar Khaled yang mahu UMNO bebas segera dari kemelut yang dihadapi.

Beliau turut menegaskan bahawa sandaran harapan itu terletak juga pada peranan Naib Presiden UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, UMNO juga perlu tingkatkan usaha dan ikhtiar untuk meminta kepimpinan parti untuk menyatakan dengan jelas, jalan ke hadapan untuk UMNO.