KUALA LUMPUR:“Saya tidak tahu menahu mengenai dua ahli GPS yang menyatakan sokongan kepada Anwar,”

Demikian tegas Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi susulan laporan menyatakan dua ahli parlimen gabungan itu bersama 10 lagi Ahli Parlimen UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sokongan itu dinyatakan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut laporan tersebut, dua ahli parlimen GPS itu bersama sepuluh ahli parlimen UMNO termasuk Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Setakat yang saya tahu, tiada ada ahli GPS yang tidak bersama PN (Perikatan Nasional), kalau ada pun mungkin ia di luar pengetahuan saya.

“Setahu kita GPS memang kekal menyatakan sokongan kepada PN,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.

BACA: 10 Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar termasuk Najib dan Zahid - Sumber

BACA: Pejabat Ketua Pembangkang nafi 10 Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin agar PN, BN, dan GPS perlu mewujudkan satu gagasan bagi melambangkan kesatuan tiga gabungan itu.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata ia tidak perlu kerana ketiga-tiga pihak berkenaan ketika ini telah bekerjasama di peringkat persekutuan dan membentuk kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: PN, BN dan GPS perlu bermuafakat, wujudkan satu gagasan besar - Hamzah Zainudin

“Saya tidak pasti apa maksud dia (Hamzah) tentang mewujudkan satu gagasan baharu kerana ketika ini kita sudah bekerjasama dan membentuk satu kerajaan.

“Melalui gabungan ini juga kita sudah membentuk Kerajaan Persekutuan jadi saya tidak faham mengenai maksud gagasan baharu ini,” tambahnya.

Selain itu ujarnya, GPS juga masih belum menetapkan sebarang tarikh untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara-perkara berkenaan.