Syed Saddiq berkata dirinya tidak akan sekali-kali mengamalkan politik dendam malah menganggap bekas lawan daripada UMNO dan PAS tersebut mempunyai peranan masing-masing dalam rancangan pembangunan Muar dan Malaysia.
"Kepada lawan saya di Muar, saya menghulur tangan persahabatan dan kerjasama ke arah membangunkan dan memajukan Muar sebagai Mutiara Johor.
"Saya percaya impian dan harapan saya menjadikan Muar sebagai enjin ekonomi Utara Johor akan lebih cerah andai kerjasama erat dicapai antara semua," kata Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dalam satu kenyataan, di sini.
Lulusan Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu turut menjelaskan bahawa penglibatannya dalam politik bukanlah untuk mendapatkan kedudukan tetapi untuk membela anak muda.
"Saya masuk untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat supaya tidak akan ada mana-mana pemimpin politik atau parti politik yang akan terlalu berkuasa.
"Saya masuk untuk memastikan Malaysia bangkit sekali lagi sebagai harimau Asia. Bersama-sama, kita boleh lakukan yang mustahil wahai saudara senegaraku," kata anak muda yang pernah bergelar Pendebat Terbaik Asia sebanyak tiga kali itu.
Pada PRU14 pada Rabu, Syed Saddiq, calon Pakatan Harapan yang bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN-UMNO) dan pencabar Abdul Aziz Talib (PAS) dengan majoriti 6,953 undi.