Tindakan Pakatan Harapan mempersoalkan ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sesuatu yang ‘aneh’, kerana sistem itulah yang mengangkat pengerusi mereka sekarang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri selama 22 tahun, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malahan, tambah Presiden UMNO itu lagi, sistem berkenaan telah pun diperkukuhkan bagi memastikan tiada ruang untuk mana-mana pihak melakukan penipuan hingga boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Kita anggap ia sesuatu yang aneh sebab sistem yang kita amalkan oleh SPR hari ini adalah sistem sama yang angkat dia (Tun Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Malah, sistem kita diperkukuhkan menjadi lebih telus daripada dulu.

“Kita ada polling agent, counting agent (petugas pilihan raya), dan kita ada sistem dakwat dan sebagainya, jadi peluang untuk menipu boleh kata tak ada langsung... macam mana dia (pembangkang) kata PRU ini kononnnya tak adil?” soalnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Mengenai pertemuan Dr Mahathir dengan 14 duta dan tiga pegawai diplomatik dari Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini, Perdana Menteri berkata itu menunjukkan pembangkang tersepit hingga terpaksa meminta campur tangan orang luar.

“Ini perkara biasa, mereka dah tersepit, tak ada peluang dalam negara, mereka terpaksa gunakan kuasa asing, mengadu kepada orang luar dengan harapan apa-apa keputusan PRU nanti boleh dianggap sesuatu yang boleh dipertikaikan,” katanya lagi.

Mengenai pandangan bahawa PPBM dilihat cuba menggantikan UMNO untuk menerajui negara, Najib berkata, ia adalah sesuatu yang mustahil kerana mereka tidak menghormati perlembagaan parti sendiri.

"Saya diberitahu bahawa di peringkat cawangan dan bahagian (PPBM), mereka tidak mengadakan mesyuarat. Alih-alih peringkat nasional ada perhimpunan yang kita tidak tahu dari mana perwakilan itu datang.

"Maknanya, pengurusan parti sendiri pun boleh dipersoalkan dari segi perlembagaan yang mereka sendiri tentukan, diluluskan mereka sendiri. Apakah ini petanda kemampuan mereka untuk menjalankan tanggungjawab lebih besar?" soalnya lagi.