Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung tindakan terhadap Datuk Osman Sapian susulan satu video tular bekas Menteri Besar Johor itu dipercayai berkempen untuk calon Bebas semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, baru-baru ini.

Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang berkata pihaknya di peringkat perhubungan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan parti.

"Biarlah Tan Sri (Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin) melalui jawatankuasa (Lembaga Tatatertib) membuat apa jua keputusan.

"Hal-Hal disiplin di bawah Lembaga Tatatertib parti, jadi kita di negeri tidak ada komen berhubung perkara ini, segalanya terpulang kepada pihak pengurusan untuk ambil tindakan.

"Kalau betul video itu sahih, mereka (Lembaga Tatatertib) akan buat siasatan.

"Terserah kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin, beliau boleh arahkan untuk buat semakan atau siasatan," katanya.

Mazlan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutup Konvoi Merdeka Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2020 di sini hari ini.

Semalam tular video yang menunjukkan Osman, Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK DUN Slim.

Dalam video itu, Osman mengakui masih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas atas tiket Bersatu dan ahli Bersatu namun mendakwa parti tersebut telah menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Sebelum ini, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata semua pihak diminta agar tidak cepat melatah khususnya apabila membabitkan urusan dalaman parti.

"Kita ikut sumber yang tepat. Kalau betul ada pelanggaran salah laku maka perlu diberikan peluang untuk memberikan penjelasan, kita kena matang dalam soal ini," katanya.

-- BERNAMA