KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, bakal mengundang risiko yang lebih besar dan kritikan keras terhadap sistem kehakiman negara.

Calon Naib Presiden Keadilan, Farhash Wafa Salvador berkata, peruntukan Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009 yang menyatakan bahawa kuasa menjalankan siasatan hanya boleh dilakukan sekiranya SPRM mempunyai sebab untuk mengesyaki, dan bukan semata-mata atas alasan laporan telah dibuat.

"Sikap seperti ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta melanggari prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan.

"Ianya bukan sahaja bakal menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan masyarakat, malah isu-isu kontroversi seperti ini jika tidak diuruskan dengan baik boleh melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap insitusi kehakiman negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: SPRM punyai kuasa siasat hakim

BACA: 'Serangan terhadap Hakim, badan kehakiman melampaui batas' - Tengku Maimun bersuara

Tambahnya, kecenderungan berterusan kepada campur tangan atau tekanan politik terhadap mana-mana anggota badan kehakiman harus dihentikan demi mengembalikan integriti, kebebasan dan maruah badan kehakiman serta sistem undang-undang negara dilindungi dan dipertahankan.