Ada yang berpendapat, perkara itu sengaja dibiarkan demi survival sesetengah parti politik, tidak kurang pula yang melihat ia merupakan satu perkara yang akan terpahat dalam dinamika politik negara, sampai bila-bila.
Biarpun ada usaha yang cuba dilaksanakan untuk mengubah keadaan itu, ia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Astro AWANI baru-baru ini bertemu dengan Setiausaha Publisiti bagi Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim, untuk mendengar pandangan beliau mengenai cabaran politik berasaskan perkauman.
Politik berasaskan perkauman, yang sejak sekian lama bertapak di negara ini merupakan satu konsep yang nyata bercanggah dengan aspirasi negara untuk melihat rakyatnya hidup dalam perpaduan dan harmoni.
Dalam satu temuramah dengan Astro AWANI baru-baru ini, Setiausaha Publisiti Wanita DAP Johor, Marina Ibrahim berkata, politik perkauman sebenarnya sudah tidak lagi relevan dan hanya mengakibatkan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, beliau berpendapat, tanggungjawab mengubah landskap politik itu terletak di bahu pemimpin muda dan perlu dilakukan dengan kadar segera dalam usaha memastikan Malaysia berada di landasan yang betul.
“Kita sudah 63 tahun merdeka dan sekarang sudah pun memasuki tahun 2020, yang mana bagi saya kita perlu ubah landskap politik kita, yang kita lihat dari dulu merupakan politik bercorakkan perkauman. Itu adalah tugasan anak muda.
“Kita sendiri sebagai pemimpin, terutamanya pemimpin muda kena meyakinkan anak muda, kena meyakinkan golongan penentu ini bahawa zaman semakin maju ke hadapan dan kita harus melaksanakan sesuatu, mengajar mereka berkenaan apa yang perlu tentang penyatuan dan perpaduan bangsa,” katanya lagi.
Anak kelahiran Johor berusia 33 tahun itu berkata, pemimpin muda tidak kira dari parti politik mana sekali pun, perlu menjadikan perpaduan rakyat Malaysia sebagai agenda perjuangan politik mereka.
Namun Marina mengakui, perkara itu bukan mudah untuk dilakukan, apatah lagi beliau merupakan ahli kepada parti DAP, parti yang sering kali dijadikan ‘punching bag’ (tempat melepaskan geram) yang sering dimomokkan sebagai parti ‘Chauvinist’ untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu dan Islam di negara ini.
“Sebagai contoh, ada orang yang pernah memaki hamun saya: “Marina kalau I nampak muka you I nak ludah”. Sebab apa? Sebab saya memilih DAP dan dianggap mengkhianati bangsa sendiri iaitu bangsa Melayu.
“Tetapi bila saya tanya berikan contoh apa yang saya khianat bangsa saya sendiri. mereka sendiri tak boleh nak huraikan…tak mampu nak nyatakan,” katanya lagi.
Secara peribadi, Marina berpendapat, DAP merupakan platform yang adil, terbuka dan sentiasa mendengar pandangan ahli berbanding parti-parti politik lain di negara ini.
Biarpun menjadi ahli yang dianggap minoriti, wanita muda ini berkata, kepentingan dan pandangan ahli Melayu tetap diberi perhatian sepenuhnya oleh pimpinan kanan DAP
“Banyak usaha yang telah dilaksanakan DAP…sebagai contoh pemukiman, dialog untuk sesama ahli, sesama ahli Melayu dan Cina, mahupun dengan bangsa-bangsa lain. Mereka menerangkan apa ketidakpuasan, apa yang boleh dilakukan untuk menambah baik DAP sendiri.
“Kita pun dalam DAP sebagai ahli Melayu bebas untuk bersuara, untuk menyatakan rasa tak puas hati kita. Cuma benda itu tidak berlaku secara umum dan tidak diketahui ramai orang. Tetapi suara kami sentiasa didengar jika dibandingkan dengan parti lain,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai cabaran yang sering dihadapi, Marina mengakui, ada kalanya tindakan segelintir ahli parti sendiri meletakan dirinya serta ahli berbangsa Melayu yang lain dalam keadaan sukar untuk menjelaskan bahawa DAP adalah parti untuk semua.
Selain itu, ujar Marina lagi, isu-isu seperti pelaksanaan tulisan Jawi dalam kandungan buku teks, sekolah, isu Hudud, isu pemandu mabuk, isu Melayu ‘skru’ Melayu dan pelbagai isu lain sering dijadikan peluru politik oleh pihak lawan untuk melemahkan DAP.
“Di dalam sesebuah parti, sudah pasti tidak semua akan mengikut ideologi apa yang ditentukan pimpinan kanan. Dalam parti itu sendiri banyak manusia… jadi apabila banyak manusia, sudah pasti banyak ragamnya.
“(Dalam) setiap parti, kadang-kadang (ada) pandangan yang diberikan oleh ahli tidak mencerminkan pandangan parti itu sendiri. Dalam UMNO juga, ada sesetengah pemimpin korup, bolehkah kita nyatakan UMNO adalah parti korupsi?” soalnya kembali.
Bagaimanapun, Marina berpandangan, semua itu adalah cabaran yang perlu dilalui.
Namun begitu, beliau yakin dengan komunikasi dan siri penerangan secara berterusan yang diberikan, rakyat terutamanya golongan muda akan dapat melihat bahawa DAP bukanlah parti ‘Cina’, atau ‘Chauvinist’, yang sering diuar-uarkan ketika ini.