Sasaran Pas untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dan menawan sekurang-kurangnya empat negeri adalah realistik dan bukannya 'cakap kosong'.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Zuhdi Marzuki berkata sasaran tersebut diperoleh berdasarkan kajian yang dilaksanakan dengan teliti.

"Apabila Presiden menyatakan untuk memenangi 40 kerusi Parlimen dan boleh mentadbir empat atau lima negeri ia bukan cakap kosong, ia ada asasnya," kata beliau ketika sesi penggulungan pada hari terakhir Muktamar Pas Pusat ke-63 di Kota Sarang Semut dekat sini hari ini.

Menurut beliau, sasaran itu dibuat juga berdasarkan lebih kurang 100 simulasi yang dianalisis mengikut senario yang berbeza.

"Kami melihat beberapa senario, pertandingan satu lawan satu dan juga pertandingan tiga penjuru.

"Namun, keputusan kajian ini kami tidak dedahkan kepada umum. Hanya bagi kegunaan dalaman parti sahaja," katanya lagi.

Muktamar Pas Pusat yang bermula sejak Jumaat melabuhkan tirainya hari ini.