KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan sokongan yang diberikan Sarawak kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah demi mencapai kestabilan politik.

Jelas Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, masa depan rakyat Sarawak akan lebih cerah jika kelestarian politik dapat dikecapi sekali gus mampu menghadapi cabaran besar di seluruh negara.

“Kita (GPS) berikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana kita mahu kestabilan dalam negara dan buktinya apabila negara dilanda pandemik COVID-19, beliau (Muhyiddin) berjaya menangani masalah ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama penjawat awam negeri dan persekutuan di Ranyai Ballroom, Hotel Waterfront di Kuching pada khamis.

Jelas Abang Johari, keakraban hubungan di antara penjawat awam Persekutuan dan negeri turut memberi impak positif terhadap pembangunan pendidikan serta kemahiran di negeri itu.

“Oleh kerana itu, kita secara konsisten telah meningkatkan taraf pendidikan kita melalui Pusat Kecemerlangan Sarawak (CENTEXS) dan usaha ini terus dipertingkatkan dengan bantuan dari Kerajaan Pusat.

“Persekutuan telah meluluskan Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) sebagai universiti penuh dan Kolej Teknologi Lanjutan Antarabangsa Sarawak (iCATS) sebagai kolej universiti,” katanya.

Tambahnya, peluang itu akan membuka langkah yang lebih jauh untuk Sarawak menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepentingan terutama para pengkaji untuk menerokai kaedah baharu melalui teknologi.

“Kita perlu mencari kaedah baharu yang boleh mengubah serta mengukuhkan ekonomi Sarawak dan perkara ini boleh dicapai menerusi kolaborasi antara Persekutuan dan negeri  dengan sumber yang sedia ada,” katanya.