MESYUARAT Khas Parlimen pada 11 April 2022 merupakan detik yang cukup bermakna kepada landskap politik tanah air. Cadangan draf asal yang merujuk kepada usaha mencadang dan memaktubkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 akhirnya diputuskan untuk dibawa kepada pemerhatian khusus dan spesifik sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas.
Lebih menarik dan wajar dihargai, Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil parti politik yang bersifat rentas. Selain peranan utama yang bakal diterajui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), ia akan turut disertai kalangan wakil parti yang bukan sahaja mempunyai pengalaman malah memahami had, batas dan keperluan undang-undang yang akan dipersetujui nanti.
Keperluan kepada pindaan Perlembagaan atau apa sahaja remedi perundangan bersesuaian dalam menangani isu lompat parti sememangnya wajar diperhalusi dalam masa terdekat ini. Mereka yang arif dan mahir dalam aspek perundangan dan Perlembagaan wajar disatukan di bawah khemah besar perbincangan berkaitan akta ini.
RUU yang dicadangkan ini merupakan usaha yang cukup luar biasa. Semangat diskusi, rundingan, perbincangan dan musyawarah yang diusahakan oleh Kerajaan melalui kesungguhan dan komitmen Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), JPM amat jelas dan ketara. Jika tidak silap, hampir 12 sesi pertemuan diadakan bersama pemegang taruh dalam memastikan penerimaan positif kepada apa yang bakal diputuskan nanti.
Sidang Khas Parlimen yang diadakan tempoh hari tidak mendatangkan kerugian apa pun kepada mana-mana pihak. Malahan, sidang tersebut menjadi sesi “maklum balas peringkat tertinggi” yang boleh dan mampu diusahakan. Liputan langsung secara dalam talian diikuti ramai rakyat yang berminat sehinggalah detik keputusan akhir dimuktamadkan oleh Speaker.
Apa yang berlaku sebenarnya membayangkan proses kematangan demokrasi yang sedang berlaku di negara kita sejak pilihan raya umum (PRU-14) yang lepas. Politik tidak semestinya bersifat “permainan zero-sum” (zero-sum game) atau “mainan campur-tolak” semata-mata. Dalam banyak keadaan, politik mesti menjadi medium yang menjanjikan kesejahteraan dan membawa manfaat kepada rakyat.
Saban kali dalam doa awal sebelum memulakan sidang Parlimen – disebutkan akan keperluan semangat dan agenda permesyuaratan wajib memandu usaha peningkatan dan pemeliharaan “kemaslahatan rakyat”.
Dalam banyak hal, Dewan Rakyat dan Dewan Negara menjadi kemuncak kepada hasrat ini.
Kitaran Kecurigaan dan Kesangsian
Ketika mana barometer kepercayaan rakyat kepada apa sahaja isu yang bernuansa politik cukup rendah; apa yang berlaku di Dewan Rakyat tempohari sebenarnya menzahirkan elemen keterbukaan dan
kebertanggungjawaban yang cukup tinggi. Lebih 65 pembahas yang mengemukakan pandangan, sebenarnya membuka banyak gagasan dan pandangan yang wajar diteliti.
Kalau dahulu kita pernah mendengar ungkapan – bahawa zaman Kerajaan tahu semua sudah berakhir. Inilah juga makna kepada ungkapan itu. Kerajaan, atas struktur dan ruang kelola yang ada, perlu membuka tabir dan tirai pemikiran dan tindakannya dengan lebih meluas. Pendekatan libat urus mesti dilaksanakan atas nawaitu-nya yang betul dan tepat.
Kajian ‘Edelman Trust Barometer 2022’, secara kebetulan tahun ini mengangkat tema – “Kitaran Kecurigaan dan Kesangsian” (The Cycle of Distrust). Menurut kajian tersebut, antara sektor yang mengalami sedikit
kemerosotan dalam aspek kebolehpercayaan ini adalah politik dan media.
Malahan, kedua-dua sektor ini dianggap sebagai pencetus ketidaksepakatan pemikiran di kalangan rakyat.
RUU Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 yang dicadangkan sebenarnya mempunyai niat mengembalikan “kemuliaan” dan “kepercayaan” rakyat kepada ruang politik. Terus terang, kita amat memahami kekecewaan
majoriti rakyat dengan suasana politik berlompat-lompatan dan penuh ketidaktentuan.
Kekuatan dan keutuhan siasah negara mesti dikembalikan kepada keadaan yang lebih sasa dan stabil. Hak dan keputusan rakyat mesti dihargai dan dihormati. Mandat mereka mesti dihormati dan dilunaskan dengan penuh tanggungjawab.
Kecurigaan dan kesangsian tidak boleh menjadi emosi pilihan (default emotion) kepada rakyat. Politik mesti menjadi ruang yang kembali dihormati dan dipercayai. Ya, memang benar, proses ini tidak akan berlaku dalam sehari. Ia memerlukan proses yang panjang dan sangat berliku. Namun, percayalah ia telah pun dimulakan dan hakikatnya, kita tidak bermula di titik sifar.
Menerajui Muafakat Politik
Apa yang sedang dilalui oleh YAB Perdana Menteri pada ketika ini merupakan dinamik politik yang tidak pernah dialami oleh mana-mana pimpinan sebelum ini. Getar rasa permuafakatan politik yang dibawa oleh
kepimpinan negara pada ketika ini, cukup ikhlas dan terbuka. Semua pihak dirundingi dengan sebaik mungkin.
Menjemput dan mendengar pandangan seluruh spektrum politik merupakan ikhtiar yang panjang dan barangkali melelahkan. Namun, inilah realiti politik yang ada. Ruang keterbukaan dan pentas permuafakatan hanya mampu direalisasikan seorang pemimpin yang mempunyai desak hati dan firasat politik yang memuliakan semangat musyawarah.
Cukup jelas, memorandum persefahaman politik (MoU) tidak dijayakan atas dasar tangkap muat. Ia dokumen yang memeterai kesungguhan dan komitmen untuk mendahulukan kesejahteraan dan kepentingan rakyat. Seluruh ruang sayap politik diberikan cukup masa untuk mengemukakan pandangan dan hasrat.
Model kepimpinan yang sedang ditampilkan ini sebenarnya acuan masa hadapan kepada politik Malaysia. Teringat akan Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa politik wajar diterasi adab - 'yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua'. Amalan merundingi pandangan semua pihak ini wajar menjadi tamsilan dan contoh.
Apa yang ramai rakyat harapkan, apa sahaja yang berlaku selepas daripada ini, tidak mengembalikan politik Malaysia kepada – “permainan zero-sum”. Dalam keadaan dan waktu tertentu, maruah dan martabat politik Malaysia perlu kita pertahankan dengan sepenuh hati.
Niat, semangat dan gagasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 sudah betul, tepat dan wajar. Tidak mungkin asas yang disepakati secara bersama ini tidak boleh diangkat menjadi undang-undang. Kepada penulis, kalau pun ada ketidaksetujuan yang disampaikan tempoh hari, ia bersifat kepada “perincian” tertentu dalam draf yang dikemukakan.
Akhirnya nanti, rakyat hanya menginginkan suasana politik yang lebih berintegriti dan stabil. Mereka tahu dan maklum, keadaan politik yang tidak diteraskan kepada prinsip dan integriti akan meletakkan negara dalam ruang ketidakstabilan yang bakal menatijahkan terencatnya potensi kemakmuran.
* Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Wed Apr 13 2022
Keperluan kepada pindaan Perlembagaan atau apa sahaja remedi perundangan bersesuaian dalam menangani isu lompat parti sememangnya wajar diperhalusi dalam masa terdekat ini. - Gambar/ Bernama
Restoran alami kerugian punca kegagalan perniagaan Kim Seri
Kim Seri berkata kerugian itu mula ditanggung sejak Februari lalu berikutan ulasan buruk yang diterima daripada pelanggan mengenai restorannya.
Tragedi rempuhan sempena agihan makanan pra-Krismas ragut 67 nyawa di Nigeria
Tragedi rempuhan untuk mendapatkan makanan percuma telah meragut nyawa 67 rakyat Nigeria sepanjang tempoh pra-Krismas.
Dua dekad tsunami: Aceh bangkit dengan ilmu, semangat anak muda
Aceh berjaya berdikari dengan bantuan yang diberikan 20 tahun dahulu, menerusi pelbagai peluang perniagaan yang dimonopoli anak muda, khususnya berkaitan pelancongan.
Sim bantu tujuh sekeluarga tinggal dalam kereta
Keperitan tujuh sekeluarga yang terpaksa tinggal di dalam kereta selepas ditipu tuan rumah di Bukit Mertajam, mendapat perhatian ahli parlimennya, Steven Sim.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 22 Disember 2024.
Pejabat Migrasi Jerman juga beri amaran tentang suspek Magdeburg
Amaran itu diterima melalui saluran media sosial pada penghujung musim panas 2023.
Angka kematian di Nigeria meningkat kepada 32 orang
Angka kematian akibat tragedi rempuhan semasa acara amal Krismas di Nigeria meningkat daripada 13 kepada 32 individu setakat ini. Perkara itu dinyatakan polis dalam kenyataan pada Ahad.
Empat kanak-kanak antara yang maut dalam serangan Israel
Empat kanak-kanak Palestin antara lima mangsa yang terkorban dalam serangan terbaharu tentera Israel di Jabalia, utara Gaza pada pagi Ahad. Jumlah mangsa itu seperti yang dinyatakan oleh Agensi Berita Palestin (WAFA) yang turut mengesahkan kejadian itu.
Trump ancam ambil semula terusan Panama jika caj tinggi
Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam untuk mengembalikan Terusan Panama kepada pemilikan Amerika sekiranya pihak berkuasa Panama tidak mengawal caj yang dianggapnya "terlalu tinggi".
Empat maut, helikopter terhempas di hospital di Turkiye
Sebuah helikopter terhempas di sebuah hospital di wilayah Mugla, barat daya Turkiye, mengorbankan empat orang, menurut Gabenor wilayah itu, Idris Akbiyik.
RUU Warganegara: KDN sudah bentang kepada Majlis Raja-Raja, perlu perhalusi lagi
Saifuddin berkata, masih ada perkara yang perlu diperhalusi dengan Suhakam sebelum ia melalui bacaan buat kali kedua di Dewan Rakyat, Oktober ini.
RUU Pindaan Perlembagaan: Penyatuan suara pengukuhan integriti politik
Keperluan kepada pindaan Perlembagaan atau apa sahaja remedi perundangan bersesuaian dalam menangani isu lompat parti sememangnya wajar diperhalusi dalam masa terdekat ini.
Pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan manifestasi politik lebih sihat - PM Ismail Sabri
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob justeru menzahirkan rasa puas hati dengan penyatuan Ahli-Ahli Parlimen pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.