Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohamad Razlan Raffi, BN berkeyakinan akan menubuhkan kerajaan selepas 19 November ini tanpa ada gabungan dengan pihak-pihak lain.
Beliau berkata, isu gabungan BN dan PH yang kerap dimainkan sejak kebelakangan ini merupakan tuduhan lapuk yang dibangkitkan semula.
"Orang UMNO mempunyai struktur parti yang tersusun. Apa sahaja yang kita nak bawa ke dalam perjanjian dasar parti ia mesti melalui proses mesyuarat dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
"Keputusan mesyuarat dan PAU kita pegang dan kita tahu ini keputusan yang telah dibuat bahawa tidak akan ada kerjasama dengan PH.
"Itu keputusan yang telah dibuat dan kita telah mendapat laporan banyak agensi dan risikan bahawa BN akan menubuhkan kerajaan pada 19 November," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat
Dalam masa sama, Razlan turut mendakwa, isu gabungan BN - PH itu dimainkan bagi membunuh karakter seseorang pemimpin terutamanya apabila mengaitkan pemimpin itu dengan PH.
"Itu adalah isu lapuk yang kita kena ketepikan dan percaya BN sudah hampir menubuhkan kerajaan pada 19 November ini," ujarnya.
Baru-baru ini, isu jajaran baharu melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO kembali dibangkitkan.
Meskipun beberapa pemimpin terlibat berulang kali menafikan jajaran tersebut, namun, ia masih lagi menjadi perbincangan hangat gabungan bertanding dalam PRU15.
Esok rakyat Malaysia akan keluar mengundi untuk menentukan pemimpin pilihan mereka dan bakal menyaksikan gabungan mana yang akan mendapat majoriti pada PRU15 untuk membentuk kerajaan.