Bagamanapun, beliau menegaskan, tidak gentar menghadapi calon-calon berkenaan kerana sejarah pernah membuktikan bahawa nama besar pernah tumbang di kawasan Parlimen itu.
Menurutnya, tidak mustahil sejarah yang sama akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Saya penuh hormat kepada nama-nama besar itu. Tambahan pula semasa hari pencalonan, mereka juga menghormati saya sebagai orang baru. Kami sembang bersama-sama.
“Kita tak gentar. Kita anggap ini gelanggang terbuka dan saya yakin dengan jentera yang ada, kita akan buat yang terbaik.
“Tambun pernah menyaksikan legasi Barisan Nasional (BN) tumbang pada PRU14 selepas 60 tahun, dan tidak mustahil ia berulang sekali lagi,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di Kampung Ulu Chepor, dekat sini, malam tadi.
Menurutnya, sepanjang minggu pertama kempen, mereka memberi tumpuan kepada kempen secara atas talian melalui pelbagai platform di media sosial.
“Apabila kehadiran kami telah diketahui ramai dan diterima (melalui media sosial), barulah kami berkempen secara bersemuka sehingga hari mengundi,” ujarnya.
Ahli perniagaan itu menjelaskan, beliau bukanlah ahli politik tetapi menggunakan parti politik sebagai platform untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Kita akan jelaskan, terutama kepada anak muda, bahawa bukan semua yang bertanding itu sama, kita nak betulkan persepsi mereka mengapa kita bertanding,” katanya.
Parlimen Tambun bakal menyaksikan pertembungan empat perjuru antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha BN Perak, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Abdul Rahim.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH, menewaskan bekas Menteri Kewangan II yang juga penyandang, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dan calon Pas, Ibrahim Zakaria dengan majoriti 5,320 undi.