Selain itu, beliau juga turut menjanjikan program pembangunan ekonomi untuk kaum wanita, serta mengkaji perancangan semula untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di Sungai Buloh, seperti kesesakan trafik, dan masalah banjir.
Beliau berkata, kesemua itu merupakan sebahagian daripada manifesto yang beliau gelarkan sebagai ‘Solusi Ramanan’, sebagai usaha untuk beliau mempertahankan kerusi itu untuk Pakatan Harapan.
“Sudah banyak asam garam dalam perjalanan politik saya ke hari ini, bagi menyediakan diri untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan P107 Sungai Buloh.
“Saya tidak mahu membaca manifesto yang ditulis bagai janji tidak bermakna, janji untuk menang yang tidak boleh ditetapi. Apa yang saya mahu berikan kepada anda semua adalah ‘solusi’ setelah meneliti masalah dan kekurangan yang perlu diselesaikan segera,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai kemuncak acara Ceramah Perdana PH Kota Damansara di sini malam ini.
Melalui ‘Solusi Ramanan’, beliau menggariskan enam teras utama, merangkumi usaha meringankan kos sara hidup, program perantisan untuk anak muda, penyediaan prasarana ekonomi untuk kaum wanita, sehinggalah kepada penyelesaian infrastruktur.
Melalui insiatif Program Bantuan Ringankan Kos Sara Hidup (BERI), Ramanan berkata beliau akan memberi fokus kepada peningkatan taraf hidup B40, termasuk menyediakan sebuah kedai untuk golongan tersebut mendapat bekalan keperluan asas.
Bagi program perantisan untuk anak muda, Ramanan berkata, beliau ingin mempelawa syarikat industri kecil dan sederhana untuk menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, selain menawarkan program biasiswa untuk mereka yang layak.
Selain itu Ramanan berkata, beliau juga menawarkan bantuan segera melalui super smart app (Point Location – Initiatie Resources – Network Assets – Go As a Team) untuk memastikan penduduk Sungai Buloh mendapat bantuan sewajarnya jika menghadapi bencana atau kecelakaan.
Turut digariskan pembangunan infrastruktur seperti ‘super sports & youth centre’ untuk menjadi pusat kesukanan, selain menyediakan khidmat kaunseling dan mentor kerjaya untuk golongan muda.
Khusus bagi kaum wanita, Ramanan berkata, beliau akan bekerjasama dengan SME dan badan-badan bukan kerajaan di Sungai Buloh untuk menyediakan platform bagi melatih dan menyediakan platform bagi tujuan pembangunan ekonomi di kalangan kaum wanita.
Selain itu, Ramanan juga bertekad untuk mengkaji permasalahan lazim dan penyelesaian untuk kesesakan trafik dan banjir di Parlimen tersebut.
Dalam pada itu Ramanan mengingatkan penduduk Sungai Buloh bahawa hasrat pencabarnya dari BN, Khairy Jamaluddin untuk meraih sokongan bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri adalah sesuatu yang sukar untuk difahami.
Katanya lagi, tindakan Khairy itu seolah-olah menjadikan PRU ini sebagai agenda peribadi, berbeza dengan PH yang sudah menetapkan fokus mereka untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Dia nak bersihkan parti dia, dia nak bersihkan Barisan Nasional. Maksud dia apa? Dia sendiri kata BN ini kotor. Bukan saya yang cakap, bukan saya nak hentam dia, tapi dia sendiri yang kata begitu.
“Tapi saya ingatkan Khairy, di dalam tempat yang kotor itu, you sendiri duduk di dalam. Bersihkan diri anda dahulu, ini bukan pilihan raya UMNO, ini bukan pemilihan UMNO, ini pilihan raya umum. Jangan bawa masuk UMNO gunakan Sungai Buloh sebagai platform untuk dia bertanding dalam UMNO,” katanya lagi.