Kerusi ini menampilkan dua calon ‘heavyweight’ termasuk seorang calon muka baharu.
Pulai menyaksikan saingan sengit antara calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga penyandang serta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membuat kemunculan semula serta Loh Kah Yong yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Hanya berbaki lebih kurang seminggu tempoh untuk berkempen, kesemua mereka sememangnya tampil dengan agenda tersendiri untuk memikat hati pengundi.
Bagi calon BN, Nur Jazlan beranggapan, pengundi tidak akan mudah untuk melupakan jasanya yang pernah berkhidmat di kawasan itu selama tiga penggal menerajui Pulai.
Apa yang menjadi tumpuan utamanya adalah isu untuk merancakkan pembangunan serta usaha untuk memastikan gaji penduduk setempat dapat ditingkatkan selari dengan cabaran ekonomi ketika ini.
“Caranya kita perlu pastikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri dikuasai BN jadi mudah untuk kita rangka strategi untuk tarik pelaburan asing untuk datang ke daerah ini khususnya kawasan Iskandar.
“Kita akan tarik syarikat korporat yang berpotensi tinggi sekali gus mampu untuk menyediakan pekerjaan yang berpendapatan tinggi.
“Kita lihat jumlah penduduk yang perlukan rumah mampu milik masih tinggi maka saya akan fokus bagaimana kerajaan negeri dapat tingkatkan jumlah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan ini termasuk langkah untuk tingkatkan pendapatan penduduk kerana kita tidak mampu untuk melawan inflasi,” katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Sementara itu, Salahuddin berkata, penting untuk dirinya mengekalkan kerusi terbabit bagi memastikan kerajaan yang bersih dapat dibentuk termasuk usaha parti untuk mengangkat Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
PERTARUNGAN 'HIDUP DAN MATI' RAKYAT
“Ini bukan soal pertarungan saya dengan Jazlan. Kalah, menang itu lumrah dalam politik, namun kali ini apa yang lebih besar adalah pertarungan hidup mati rakyat dan kita harap satu kerusi dari Pulai untuk PH akan lengkapkan majoriti Anwar Ibrahim untuk angkat sumpah sebagai PM ke-10,” katanya.
Ujarnya lagi, tempoh hampir enam dekad BN memegang tampuk kepimpinan dengan prestasi cemerlang pada peringkat awal namun ia berakhir dengan kemusnahan besar apabila pemimpinnya kini dimasukkan ke penjara.
APA TUMPUAN UNTUK PULAI?
Bercakap mengenai fokusnya di Pulai, isu banjir bakal menjadi agenda utama di kawasan itu yang baginya sudah berlarutan begitu lama tanpa sebarang penyelesaian konkrit.
Ini termasuk potensi di Pulai yang boleh dibangunkan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) melihat kepada potensi pelabur dari Singapura.
“Isu perparitan dan pembentungan sudah enam dekad, saya masih tidak faham kenapa begitu susah untuk diatasi misalnya di Kampung Pasir, Skudai, dan kawasan Tuah Jaya.
“Isu ini berlaku depan mata pihak berkenaan malah tIdak perlu tunggu musim tengkujuh pun, hujan berlarutan beberapa jam pasti akan berlaku banjir kilat setiap tahun jadi ini antara fokus yang akan kita beri perhatian.
“Saya lihat Pulai ini perlu jadi hab kepada industri IKS dengan limpahan ekonomi daripada Singapura, banyak premis perniagaan pelbagai bangsa yang berniaga secara kecil-kecilan perlu diberikan nafas baru di kawasan ini,” katanya lagi.
Mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan dua nama besar politik, calon PN, Loh Kah Yong tidak mengalah awal kerana baginya isu yang remeh juga masih tidak mampu diatasi kedua-dua nama itu.
Kah Yong berpendapat, gelanggang PRU15 penting untuk rakyat yang mungkin sudah muak dengan permainan politik termasuk janji-janji palsu yang telah dikemukakan sebelum ini.
LIHAT SENARAI CALON-CALON DI SINI
ANAK MUDA, AYUH KELUAR MENGUNDI!
Beliau turut menyeru anak muda khususnya, untuk tampil kali ini bagi menterjemahkan mesej mereka melalui undi.
“Bagi yang kali pertama mengundi, jangan biarkan sentimen benci dan bosan terhadap politik dan sepatutnya mereka keluar mengundi untuk ubah masa depan negara.
“Jangan sia-siakan peluang ini untuk pilih kerajaan yang mereka inginkan, kerana perubahan perlu dibuat khususnya isu terhadap rasuah, janji yang tak ditunaikan maka perkara ini perlu disuarakan,” jelasnya.
Kah Yong yang juga merupakan ahli perniagaan sebelum ini menggantikan calon PN, J.R Deepak Jakishan yang sepatutnya bertanding di kawasan berkenaan.
Dalam PRU15 kali ini, Jaikishan bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Klang, Selangor.