Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, justeru pengundi muda lebih cenderung memilih calon berbanding parti.
"Berdasarkan kajian yang kami lakukan menunjukkan pengundi muda lebih cenderung kepada calon berbanding parti.
"Saya lihat ikatan kepada politik kepartian semakin terhakis yang mungkin disebabkan tidak ada sistem pengkaderan dalam parti politik yang membolehkan golongan muda naik dengan cepat.
"Apabila ada struktur penjawatan yang perlu dilalui ada sekatan atau keterbatasan ke atas golongan muda yang mahu capai apa yang mereka mahu, ini akan melewatkan proses mereka menjadi pemimpin ataupun calon," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Sivamurugan berkata, sekiranya tiada perubahan dalam struktur parti maka adalah sukar untuk negara menyaksikan pembaharuan sokongan pengundi muda.
Justeru beliau yakin, jika mahu menarik sokongan golongan remaja dan belia, maka perubahan yang besar harus dilakukan dalam pemilihan calon.
Menurutnya, untuk bergerak ke hadapan calon lama dan baharu perlu diseimbangkan supaya ada perubahan mindset pengundi baharu.
"Pengundi muda ini lazimnya akan berpihak kepada tokoh yang dicalonkan. Kalau tokoh itu boleh dijadikan sebagai idola yang boleh dicontohi secara berterusan, sudah tentu mereka akan keluar, mereka sendiri akan menjadi perayu kepada calon berkenaan atau menyatakan media sosial untuk menunjukkan sokongan secara terbuka," tambahnya.
Sivamurugan memberitahu, jumlah pengundi dalam kalangan Undi18 adalah 1.4 juta orang manakala 4.87 juta melibatkan pengundi kali pertama yang didaftarkan secara automatik.