KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) telah memulakan proses rundingan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses rundingan itu bukan sahaja melibatkan parti komponen PH malah parti-parti 'sahabat' yang mempunyai asas perjuangan yang sama.

Jelasnya, Majlis Presiden PH turut mempertimbang cadangan dikemukakan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau supaya menubuhkan Kabinet bayangan.

"Majlis Presiden telah memutuskan beberapa perkara termasuk kerjasama melibatkan gerak kerja pilihan raya dan kedua adalah untuk memulakan rundingan pengagihan kerusi terutama melibatkan parti dalam PH serta mempertimbang kerusi bersama parti-parti 'sahabat'.

"Terdapat juga cadangan daripada Presiden UPKO dan ini akan dipertimbangkan. Di peringkat ini, kami akan lantik jurucakap bagi setiap kementerian," katanya pada sidang media secara dalam talian hari ini seiring sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 Parti Keadilan Rakyat.

Madius sebelum ini berkata, pihak pembangkang tidak berpeluang memainkan peranan penting sebagai penggubal undang-undang sekiranya cadangan dikemukakan beliau itu tidak dilaksanakan dengan segera.


PRU15 | Kerjasama dengan UMNO? Ini reaksi Anwar Ibrahim

Ditanya berkenaan sama ada PKR sedia untuk bekerjasama dengan UMNO mahu pun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anwar berkata perkara itu tidak berbangkit pada ketika ini.

Ia susulan UMNO sebelum ini memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

"Keputusan Keadilan perkuat jentera, dapat dokongan rakyat, untuk menolak kezaliman dan pengkhianatan.

"Itu prinsip kita dan kita telah perkuatkan dan mulakan jentera pilihan raya di setiap negeri.

"Soal kerjasama dengan mana-mana pihak tidak berbangkit setakat ini, walaupun jelas sebagai sesebuah parti kita dukung reformasi.

"Siapa sahaja yang boleh terima kenyataan bahawa kita mendokong tatakelola pemerintahan yang baik, urus tadbir yang baik, menolak rasuah, menolak segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dan menjaga rakyat, Melayu Bumiputera dan seluruh suku kaum dalam negara kita, kita akan bersama-sama," katanya.