JERLUN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang menawarkan manifesto lebih praktikal dan digubal berdasarkan realiti semasa, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Padang Terap berkata rakyat telah menyaksikan kesan daripada PRU14 pada 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) dipilih menerajui negara yang menawarkan pelbagai janji tetapi tidak ditepati.

Bagaimanapun katanya, BN yang tewas pada PRU14 tidak menyalahkan pengundi yang mungkin telah diperdaya dengan janji-janji besar PH dan memberi kemenangan kepada gabungan itu.

"Pada PRU14, pada 2018 kita tidak salahkan pengundi yang telah balik ke kampung ataupun mengundi PH pada waktu itu kerana ketika itu kebanyakan pengundi terpedaya dengan janji-janji besar yang dibuat oleh PH dalam manifestonya.

"Seperti yang kita semua tahu, selepas mereka menjadi kerajaan mereka tidak dapat melaksanakan apa-apa janji yang dibuat dalam manifesto mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mahdzir berkata PH yang memerintah selama hampir dua tahun sepatutnya boleh menunaikan janji yang dibuat kepada rakyat, namun mereka tidak dapat melaksanakan.

Katanya pada PRU15 kali ini, PH dilihat cuba lagi hendak mendapatkan sokongan rakyat dan meminta diberi peluang untuk menunaikan janji mereka.

"Untuk PRU15 ini, saya mengharapkan pengundi yang akan mengundi pada hujung minggu nanti supaya tidak lagi terpedaya dengan apa yang disebutkan oleh PH kerana mereka dah janji...tapi mereka tidak laksanakan," katanya.

-- BERNAMA