KUALA LUMPUR: Jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum dibincang atau diputuskan diperingkat parti mahupun bersama parti komponen lain dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, berhubung 80 kerusi Parlimen yang diumumkan sebelum ini bukanlah jumlah kawasan yang bakal ditandingi, sebaliknya, jumlah  yang disebut itu mempunyai prospek untuk dimenangi.

“Tak… itu bukan jumlah kerusi yang kita akan bertanding, tetapi jumlah kerusi yang kita pantau. Jumlah kerusi (ditandingi) kita akan bincang di peringkat parti.

“Perikatan Nasional (PN) belum putus biarpun kita memantau. Setiap parti akan membuat pemantauan pada kerusi-kerusi yang kita rasa boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Perubahan Iklim 2022 di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, Pas meletakkan sasaran untuk bertanding di 80 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.

BACA: PRU15: Pas sasar bertanding 80 kerusi Parlimen, menang separuh daripada itu - Sanusi

Menurutnya, daripada jumlah kerusi yang akan ditandingi itu, Pas menyasarkan untuk menang separuh daripadanya.

Tambah beliau, sekiranya sasaran berkenaan berjaya direalisasikan, maka tiada mana-mana pihak, parti atau gabungan dapat membentuk kerajaan Pusat tanpa penglibatan Pas.