SIBU: Tiada satu pun parti politik dari Semenanjung yang mampu menterjemah dengan baik suara hati rakyat Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berbeza dengan kerajaan negeri dipimpin beliau dan GPS, kata Abang Johari, ia mempunyai polisi yang baik dalam pengurusan ekonomi terutama industri tenaga asli dan petrokimia yang kini menjadi menyumbang pendapatan baharu buat negeri itu.

“Sarawak mempunyai polisi yang sangat baik, bukan nak menunjuk tetapi kita merendah diri. Dalam GPS kita belajar, kita membaca dan kita terjemahkan ilmu yang kita dapat untuk kepentingan rakyat Sarawak.

“Apa yang penting nilai Sarawakku Sayang yang akan menjaga kita, parti di Tanah Melayu tidak akan peduli dan hanya tahu bersengketa sesama sendiri, bergaduh jawatan Perdana Menteri dalam satu penggal,” katanya berucap semasa Program Sarawakku Sayang 2022 di Dewan Suarah Sibu, di sini pada Jumaat.

Jelajah Program Sarawakku Sayang bersama Premier Sarawak diadakan sebagai pengisian sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga 18 November depan melibatkan beberapa kawasan Parlimen antaranya Limbang, Sri Aman, Betong, Bintulu, Samarahan, dan Kuching.

Sementara itu, Abang Johari meminta agar pengundi di Sibu memberi sokongan penuh kepada calon GPS di Parlimen Sibu dan Lanang demi kemakmuran pembangunan yang lebih berwawasan di bawah kerajaan negeri dan Pusat.

“Masa depan kita cerah dan GPS akan kekal menjadi penentu kepada kestabilan Malaysia dan sebuah kerajaan yang kuat demi meneruskan pembangunan infrastruktur, elektrik, air, dan jambatan di Sarawak.

“Saya telah umumkan pembangunan di Bukit Assek, percayalah ini akan mengambil masa dan aspirasi kita adalah untuk menjadikan Sibu sebagai pusat pelancongan, inj memerlukan dana yang banyak, tetapi dalam satu tempoh masa kita akan membangunkan Sibu,” ujarnya lanjut.

Untuk rekod, GPS meletakkan calon muka baharu pada PRU15 di Sibu iaitu Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Clerence Ting (Sibu) dan Wong Ching Yong (Lanang) yang kini disandang oleh calon Parti Tindakan Demokratik (DAP).