MENJELANG minggu terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelas mendominasi secara menyeluruh saingan.

Sumber risikan daripada pelbagai pihak termasuk saintis politik dan bekas ahli politik, rata-rata bersetuju bahawa paling kurang, 26 kerusi kini berada di dalam genggaman --  dengan lima yang lain, hanya memerlukan sedikit sentuhan.

“Misi 31” kata mereka tidak mustahil.

Ia boleh dicapai dengan calon meningkatkan personaliti dan sentuhan peribadi, selain melaksanakan gerak gempur saat akhir, seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang lalu.

Benar, lebih 800,000 pemilih baharu dan muda disuntik ke dalam senarai pemilih pada kali ini, namun ia bukan bermakna ia melemaskan penyandang dan kerajaan sedia ada.

Sebaliknya, GPS semakin mendapat tempat kerana kemampuannya melaksanakan begitu banyak projek sejak 2017.

Sebanyak 120 inisiatif telah dilaksanakan, dan membekas kepada setiap anak negeri ini. Ini termasuk bantuan kepada keluarga mikro -- dari lahir hingga mereka memasuki liang lahad.

Justeru itu, manifesto yang dilancarkan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 6 November lalu, adalah pelengkap kepada janji yang bakal dilaksanakan.

“Kita akan tunaikan semua janji. Manifesto kita adalah realistik,” kata Abang Johari kepada media pada Sabtu.

Abang Johari berkata, semua parti dari Semenanjung boleh menjanjikan bulan dan bintang, terutama berkaitan Sarawak.

“Namun rakyat Sarawak tidak mudah untuk ditipu, apatah lagi ditipu dua kali, sehingga mengatakan manifesto bukan bible,” ujarnya lagi.

Ungkapan Abang Johari itu sebenarnya begitu membekas kepada seluruh rakyat negeri ini.

Apabila Kerajaan Persekutuan dalam keadaan huru hara, bahkan hingga banyak projek yang diluluskan sebelumnya untuk negeri itu dibatalkan, ia memberi kesan emosi yang besar.

Justeru apabila Kerajaan GPS pimpinan Abang Johari mengeluarkan dana sendiri untuk membiayai projek yang sebenarnya berada dalam Senarai Persekutuan, ia menyedar dan menyegarkan seluruh rakyat Sarawak, bahawa “hanya kita boleh jaga kita”. Kita ‘intu’ kita.

Naratif inilah sebenarnya yang menyebabkan kebanyakan parti lawan, baik nasional mahupun tempatan, kelu dan hilang kata dalam dua pilihan raya terakhir ini.

Mereka kekeringan isu, apatah lagi kali ini GPS hadir sebagai satu pasukan mantap, tanpa sebarang isu yang melingkari parti-parti komponennya.

Malah menginsafi pengalaman lalu, Abang Johari telah melakukan “due diligence”, pemilihan dengan cukup berhati-hati, termasuk memastikan calon boleh menang sahaja diturunkan.

Itu rahsia GPS tampak utuh, kukuh dan dominan ketika ini dan boleh menukar pemimpin -- untuk memastikan proses peremajaan parti dapat berlaku tanpa jurang beza yang besar antara generasi.

Sebanyak 25 teras dan lima tonggak dibulatkan dalam manifesto GPS kali ini, yang bertemakan “Sarawak Stabil, Maju dan Makmur”. Ia sangat realistik kerana sebahagiannya telah dan sedang dilaksanakan.

Justeru tiada janji palsu dan harapan kosong disuguhkan kepada rakyat.

Puncanya, Sarawak memiliki dana yang besar, hasil tindakan kreatif Abang Johari memanfaatkan segenap peluang yang ada pada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hasil royalti dan cukai minyak dan gas memberi pendapatan yang besar, malah mengatasi bajet beberapa negeri lain di Malaysia. Namun itu tidak cukup bagi Abang Johari, kerana “ilham kreatif”  tidak pernah berhenti.

Beliau memulakan proses menambah kantung negeri dengan memanipulasi bidang yang belum disentuh negeri lain di rantau ini seperti kredit karbon dan ekonomi hidrogen.

Manakala Dana Berdaulat yang akan diluluskan di Dewan Undangan Negeri pada hujung bulan ini, pula menjadi simpanan masa depan kepada setiap satu rakyatnya.

Peruntukan kewangan yang tertinggi untuk pembangunan dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2019 telah membuka mata banyak pihak. Malah Lim Guan Eng sendiri terkejut hingga pernah meramalkan Sarawak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.

Namun, sekali lagi ia tidak terhenti setakat di situ. Pada hujung bulan ini, peruntukan yang lebih besar dan tinggi bakal diumumkan. Dan berdasarkan bayangan yang diberikan, jumlahnya melibatkan bilion ‘dua angka’ -- yang pasti mengejutkan rakyat seluruhnya.

Sesungguhnya, dana yang besar ini amat penting kerana ia membantu mempercepatkan pembangunan sosioekonomi negeri Sarawak.

Buktinya, projek pembangunan terus-terusan diilhamkan untuk menukar wajah luar bandar Sarawak, termasuk di Sematan, Sibu, Jepak dan Lawas.

Malah menjelang tahun 2025, tiga tahun lagi -- Sarawak bakal menikmati capaian total dari segi kemudahan elektrik, bekalan air bersih, dan Internet.

Di kawasan yang terpencil dan jauh dari grid, Program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) dibangunkan untuk membekalkan air bersih kepada komunitinya. Inovasi yang kini menjadi contoh kepada banyak negara luar.

Begitu juga dengan Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES),  Skim Bekalan Kuasa Luar Bandar (RPSS) dan  Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar (SARES) yang disediakan kepada lokaliti yang tidak terjangkau oleh grid utama.

Berfikir di luar kotak telah membantu Sarawak menangani masalah “economic scale” yang suatu ketika dahulu pernah menjadi halangan negeri ini untuk maju.

Sementara itu, pada tahun yang sama juga, Lebuh Raya Pan Borneo  akan lengkap sepenuhnya, diikuti Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir Pantai. Kini Kerajaan Sarawak menjayakan projek pembinaan Jalan Utama Kedua (STR) yang menghubungkan Sebuyau ke Lingga sepanjang 28.5 kilometer menjadikan jarak perjalanan menjadi lebih pendek dan cepat untuk pengguna jalan raya. 

Ini realiti yang berlaku, di seluruh Bumi Kenyalang, hingga ada tempat yang pernah dilabel sebagai “terasing” dan tidak dapat dilalui jalan darat, seperti Kapit kini boleh diakses.

Penduduk Bukit Sadok dan Bukit Mabong pasti tidak pernah bermimpi untuk mendapatkan sebuah lapangan terbang di kawasan mereka.

Namun, itu usaha yang dilakukan Kerajaan Sarawak. Semuanya bagi memudahkan penduduk kawasan luar bandar memasarkan dan mengeksport hasil pertanian mereka terus ke pasaran utama.

Bagi memastikan semua perancangan ini dicapai, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri telah ditubuhkan dan mereka bermesyuarat secara kerap -- dipengerusikan Premier sendiri. Ia untuk memastikan projek-projek ini dilaksana dan disiapkan mengikut jadual untuk faedah rakyat.

Dengan perancangan yang komprehensif dan inklusif, tidak hairanlah ia menjadi mimpi ngeri kepada 61 calon lain yang bertanding dalam PRU kali ini.

Mereka tidak ada modal lain, kecuali melakukan serangan peribadi terhadap calon. Namun perlu diingat, itu racun lama kerana kesukaran hidup rakyat ketika COVID-19 dan demam ekonomi yang berlaku hari ini pasti menyebabkan rakyat berhati-hati terhadap sebarang serangan dan fitnah.

Yang pasti, aura yang berlaku pada 18 Disember tahun lalu ketika PRN Sarawak, kini berulang. Dan menjelang 19 November, keputusan pilihan raya di Sarawak sebenarnya sudah hampir pasti dapat dibaca. Dan tidak mustahil kali ini, banyak yang menghubungi awal GPS untuk jalinan kerjasama, dan menawarkan mereka jawatan berprestij, Timbalan Perdana Menteri.