Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali bagaimanapun berkata, dalam keghairahan meraikan demokrasi pilihan raya, barisan exco digesa mengutamakan tugas hakiki mengikut portfolio yang telah diamanahkan.
“Melaka ini kita ada tanggungjawab, yang mana pertamanya, kita masih lagi berkerajaan. Dan PRU15 ini adalah pemilihan Parlimen bagi menyumbang kerusi dalam membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
“Saya yakin semua exco saya akan buat kerja mereka seperti biasa, turun padang di lapangan, itu semua tugas biasa.
"Dan kalau sebelah malamnya mereka ada masa yang lapang, maka itu terserah kepada exco mahupun ADUN untuk membantu kempen pilihan raya, tanpa meninggalkan tugas hakiki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak binaan Masjid Tambak Paya di Ayer Molek, di sini, hari ini.
Ditanya soal keperluan barisan exco untuk mengambil cuti bagi membantu calon berkempen dalam waktu bekerja, Sulaiman berkata, mereka tidak perlu berbuat demikian memandangkan pilihan raya yang berjalan di Melaka hanya melibatkan kerusi Parlimen.
“Tidak timbul (keperluan mengambil cuti) kerana tidak ada masalah apa pun. Mereka pandai bahagikan masa untuk tugas hakiki.
"Cuba tanya Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu atau Johor. Mereka pun tidak bubar, dan kita di sini sama sahaja.
“Jadi, kita ada tanggungjawab untuk kerajaan negeri. Mereka yang telah diberi mandat, jalankan sahajalah tugas seperti biasa, dan kalau ada masa lapang bolehlah (kempen),” tambahnya.
Katanya, pihaknya mempunyai budi bicara asalkan semua pemimpin yang telah menerima amanah tidak meninggalkan tugas hakiki dalam mengutamakan hal kebajikan rakyat.