KUALA LUMPUR: Keputusan Majlis Pakatan Harapan (PH) kekal tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri di bawah pentadbiran mereka boleh membawa kesan positif dan negatif.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Mohd Yusri Ibrahim berpandangan, dari sudut positif, PH boleh meletakkan beban kesalahan sepenuhnya kepada Barisan Nasional (BN) jika banjir benar-benar berlaku serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, beliau berkata pendirian berkenaan turut mencerminkan keputusan BN membubarkan Parimen sebagai terpencil, memandangkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pas juga tidak mahu membubarkan DUN.

"Kesan pro seterusnya juga dalam PRU nanti PH mempunyai fokus lebih besar untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi-kerusi Parlimen bagi membolehkan mereka kuasai kerajaan Persekutuan.

"Dalam masa yang sama, kempen PRU sewaktu mereka menjadi kerajaan aktif di tiga negeri (Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor) mungkin sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada mereka," katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.

Bagi kesan negatif pula, Mohd Yusri berkata PH kemungkinan berdepan perspektif bahawa gabungan itu telah membazirkan wang rakyat kerana tidak mahu menjalankan pilihan raya serentak dengan peringkat Parlimen.

"Mungkin juga sekiranya PH gagal memenangi kerajaan di peringkat Persekutuan nanti dan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas PRU, dan BN menguasai gabungan, ia sangat sukar untuk kempen PH bagi mempertahankan kerajaan-kerajaan tersebut.

"Ini kerana pada waktu itu, siapa yang membentuk Kerajaan Persekutuan mungkin mempunyai kelebihan daripada sudut kempen untuk PRN," tambahnya.

Terdahulu, Majlis Presiden PH mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat bagi memastikan persiapan dibuat menangani banjir di tiga negeri terbabit.

Pada Khamis, Pas juga kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN melibatkan Terengganu, Kelantan, dan Kedah.