Tegas calon Barisan Nasional (BN) P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, perkara tersebut masih menjadi pertikaian kerana dimainkan pihak lawan untuk mengelirukan rakyat supaya tidak memilih BN yang didakwa akan sebaliknya mengangkat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu katanya menjadi naratif Pakatan Harapan (PH) dalam kempen mereka ketika ini untuk mematahkan sokongan terhadap BN.
“Mereka dah tak cakap lagi pasal perancangan dan manifesto, dia datang kepada satu naratif sahaja iaitu undi BN adalah undi Zahid Hamidi sebagai PM.
“Saya rasa beliau (Zahid) pun faham oleh kerana beliau masih lagi berdepan dengan kes di mahkamah dan sebagainya, beliau tidak dicalonkan dan tak dipertimbangkan sebagai calon PM,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Ismail Sabri sememangnya layak untuk diangkat menjadi PM ke-10 berdasarkan prestasi cemerlangnya walaupun hanya setahun lebih memimpin negara selepas mengambil alih daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata Khairy, Ismail Sabri telah membawa beberapa perubahan penting seperti Akta Antilompat Parti, pindaan Perlembagaan untuk wilayah Sabah dan Sarawak, mengemudi negara keluar dari pandemik dan mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan pada 14.3 peratus pada suku ketiga tahun ini.
Maka ujarnya, Ismail Sabri tidak wajar diperlekehkan keupayaannya untuk menjadi PM yang seterusnya.
“Datuk Seri Ismail Sabri bukan PM “Shopee” yang barang dipesan dengan yang diterima lain.
“Barang pesan Ismail Sabri sebagai PM, barang sampai Ismail Sabri sebagai PM. “Full stop, end,” katanya.