TANJONG KARANG: Tidak berlaku sebarang sabotaj dalam parti susulan pemilihan calon baharu Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Tanjong Karang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Calon BN Datuk Habibah Mohd Yusof berkata, anggota UMNO sememangnya menyokong beliau di kerusi Parlimen itu.

“Ahli UMNO ada 15,000 sahaja, Selebihnya, 40,000 bukan ahli. Kalau dicongak politik, kita boleh menang. Tambahan pula ahli UMNO memang menyokong saya,” katanya kepada media semasa melawat kawasan kejadian ban pecah di Kampung Tok Adam di sini pada Ahad.

BACA: PRU15: Sedih dan kecewa saya menunggu buah tak jatuh - Noh Omar


Malah, jelas Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang itu, hubungan beliau dengan penyandang kerusi, Tan Sri Noh Omar berjalan dengan baik setakat ini. 

“Tidak (wujud sabotaj parti) kerana kita faham Tan Sri Noh Omar bukan orang baharu. Beliau seorang tokoh dan menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang hampir 30 tahun, iaitu enam penggal. Beliau begitu matang dan begitu faham keadaan ini. Apabila parti buat keputusan memberi kerusi kepada orang lain, beliau amat memahami,” katanya lagi. 


Gelanggang PRU15 sudah dibuka, untuk calon penuh klik di sini!


Noh juga katanya akan membantu memastikan beliau untuk mengekalkan kemenangan parti di Tanjong Karang.

“Saya yakin beliau faham situasi ini dan beliau tidak ada masalah dan beliau akan membantu saya. Tunggu dia ada kelapangan beliau akan bantu saya berkempen. Sekarang ini bagi dia ruang,” ujarnya.

Sebelum ini, Noh digugurkan sebagai calon PRU15 dan digantikan dengan Habibah yang pilih pucuk pimpinan parti. 

Habibah akan berentap dalam persaingan lima penjuru  dengan Azlan Sani Zawawi (Pejuang), Mohd Rosni Mastol (Bebas), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (PN) dan Siti Rahayu Baharin (PH).