Beliau yakin, dengan hubungan baik antara pentadbiran negeri dan negara, masalah penduduk setempat seperti banjir, pemilikan tanah dan pengurusan sampah akan dapat diselesaikan.
Menurutnya, jika diberi mandat, beliau mempunyai rancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk membangunkan Kuala Sepetang dalam sektor pelancongan, perikanan, keusahawanan dan pendidikan.
"Kita akan tetapkan visi untuk Kuala Sepetang dan juga P59 Bukit Gantang supaya ia akan menjadi satu koridor ataupun salah satu daripada koridor seperti yang dinyatakan oleh pucuk pimpinan Harapan.
"Untuk menjadikan Perak lebih berdaya maju dan juga menjadi penyumbang ekonomi utama, seperti Perak pernah berikan kepada Malaya ataupun kepada Malaysia, satu masa dulu," katanya.
Zainal Azman yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ditemui ketika berkempen di jeti nelayan Kampung Menteri di sini.
Sebagai salah seorang calon yang dicadangkan PH untuk menjadi Menteri Besar Perak, beliau yakin mampu memikul tanggungjawab itu, sesuai dengan slogan 'Rakyat Diutamakan Ekonomi Diperkasakan'.
Pada PRU15 ini, DUN Kuala Sepetang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Zainal Azman, penyandang Mohd Kamaruddin Abu Bakar (Barisan Nasional) dan Ahmad Man (Perikatan Nasional).
Pada PRU14 lalu, Mohd Kamarudin menewaskan calon PKR, Chua Yee Ling dan Pas, Rahim Ismail dengan majoriti 329 undi.