Beliau yang berucap dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberitahu calon bertanding bebas membangkitkan sebarang isu termasuk kesihatan awam.
“Dalam pilihan raya, calon mempunyai kebebasan bangkitkan apa-apa isu termasuk kesihatan awam. Sebagai sebuah negara demokrasi, pasti ada suara kedengaran meskipun fakta itu sudah terang lagi bersuluh yang mana seseorang akan percaya apa yang dia mahu percaya.
“Tetapi saya minta supaya isu vaksin dikeluarkan berlandaskan fakta. Kalau ada yang masih menganggap vaksin COVID-19 sebagai uji kaji, saya menjemput calon itu untuk merujuk kepada segala data dikeluarkan KKM Now.
“Kita boleh bentang semua secara telus bagaimana vaksin COVID-19 menurunkan kadar kematian, kadar kemasukan ke hospital, menurunkan kes kronik dan ini adalah hasilnya,” katanya.
Tambah beliau keberkesanan vaksin COVID-19 boleh dilihat pada waktu ini terutama rakyat tidak lagi bimbang untuk turun ke pusat mengundi, Sabtu ini.
“Kalau ada yang masih menafikan keberkesanan vaksin, saya hanya boleh tunjukkan fakta dan statistik keberkesanan.
“Kita berada di sini melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk turun mengundi tanpa sebarang sekatan,” katanya.
Sementara itu, individu positif COVID-19 yang akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.