SHAH ALAM : Pertukaran kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor antara parti dalam Barisan Nasional (BN) boleh dilakukan, dengan syarat perlu ada kerusi ganti.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilakukan kerana memerlukan rundingan yang sebaiknya antara parti terlibat.

Noh berkata, setiap parti sudah ada kuota masing-masing dalam pengagihan kerusi pilihan raya, namun setiap syor untuk menukar kerusi tertentu masih boleh dibincangkan.

"Pertama, agihan kerusi, kadang itu kalau tukar kerusi, kena swap seat. Kita (BN) kuota sudah ada. MIC kalau tidak silap saya ada sembilan. Namun yang kita berbincang ini ialah swap seat. Misal kata ada kerusi itu komponen punya, kalau nak tukar, itu kita sedang bincang.

"Masalah tukar (kerusi), misalnya, parlimen A satu parti, komponen bertanding, nak swap dengan UMNO misalnya, kerusi kita nak ambik ini, kena ada gantinya. Gantinya pula, (masalah timbul apabila) mesti yang dekat situ pun akan bising. UMNO akan dipertikai kenapa tiba-tiba beri kerusi kepada komponen. Jadi ia bukan mudah," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Asas Keusahawanan TEKUN di sini pada Ahad. 

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Tambahnya, pertukaran kerusi antara parti dalam BN itu juga perlu mengambil kira dari seluruh negara dan bukan hanya dalam Selangor sahaja.

"Contoh PRU lepas, UMNO nak ambil kerusi Parlimen Lumut, MCA kata boleh dengan syarat MCA minta ganti. Jadi bila sudah berbincang, itu sebab kerusi MCA Lumut kita swap dengan kerusi UMNO di Ampang.

"Ampang kerusi UMNO, Lumut kerusi MCA. Bila UMNO nak bagi kerusi Lumut itu kepada BN, UMNO minta kerusi Lumut, MCA macam mana nak ganti.  Jadi bila kita bincang kita kata, baik kita swap dengan Ampang. Jadi MCA ambil Ampang, UMNO ambil Lumut. Itu sebagai contoh.

"Itulah kita bincang. Jadi kita tidak boleh tengok negeri Selangor sahaja, kena tengok seluruh negara," ujarnya.