SEREMBAN: Pengerusi PKR Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyuarakan pendiriannya, untuk bertanding satu kerusi sahaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga menafikan, khabar angin mengenai beliau akan bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada pilihan raya akan datang sebaliknya menyerahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.

"Itu hanya khabar angin menyatakan saya bertanding di kerusi Parlimen dan DUN. Saya tidak bersedia untuk bertanding dua tempat. Satu tempat pun sudah cukup. Kalau disuruh pilih kedua-duanya, saya akan pilih salah satu. Bagi peluang kepada orang lain," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya ADUN Sikamat itu akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN pada PRU15.

-- BERNAMA