Perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Noor yang memaklumkan keputusan Mohd Zulkifli itu adalah tindakan peribadi dan tiada kena mengena dengan pimpinan parti.
"Saya berasa terkejut dengan tindakan Mohd Zulkifli kerana sebelum ini beliau ada menyuarakan keinginannya untuk bertanding di kawasan itu (Parlimen Bachok) tetapi saya ingat cuma seloroh atau gurauan sahaja.
"Nak buat macam mana... dia pun dah bertanding atas tiket Bebas. Jadi saya pun dah maklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi mengenai keputusannya itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd Zulkifli tampil membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok.
Mohd Zulkifli akan bertanding dengan empat calon lain iaitu Mohd Syahir Che Sulaiman (PAS), Nor Azmiza Mamat (PH-PKR), Kamarul Azam Osman (GTA-Putra) dan Datuk Mohd Zain Yasim (BN-UMNO).
-- BERNAMA